AM

Saarani Nafi Spekulasi Gerakan Tumbang K'jaan Negeri, Malah Tegaskan Ia Kuat Dan Stabil

22/05/2023 10:50 AM

IPOH, 22 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menafikan spekulasi terdapat gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak, malah menegaskan kerajaan negeri kini kuat dan stabil.

Saarani berkata dakwaan Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan ada berjumpa dengan beliau (Razman), sengaja dibuat untuk mewujudkan persepsi kononnya terdapat pergeseran dan ketidakstabilan dalam kerajaan negeri.

Menurut Saarani persepsi negatif yang sengaja diwujudkan itu boleh menggugat kepercayaan para pelabur, sekali gus mengundang risiko kepada pembangunan negeri.

"Kita sedang bertungkus-lumus untuk menarik seramai mungkin pelabur, membawa sebanyak mungkin pelaburan ke dalam negeri ini dan mereka akan melabur dengan jumlah wang yang begitu besar, berbilion-bilion ringgit. Dia (pelabur) perlukan masa yang panjang untuk melabur dan (mendapat) pulangan semula. 

"Perlu ditegaskan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja kuat dan stabil, malah semakin kukuh dengan didorong semangat kebersamaan, sifat bertanggungjawab dan kesungguhan termasuk untuk menjayakan setiap agenda yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030," katanya pada sidang media sebelum bermulanya persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Pada sidang media itu, kesemua ADUN di bawah Kerajaan Perpaduan Perak hadir bersama Saarani, kecuali ADUN Kepayang, Nga Kor Ming kerana kini berada di Jepun dan ADUN Keranji, Koo Haai Yen yang hadir lewat.

Semalam, media melaporkan Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak mendakwa beberapa Ahli DUN (ADUN) kerajaan ada berjumpa dengan beliau ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.

Sementara itu, Saarani berkata beliau menasihatkan semua pihak terutama Razman untuk berpolitik secara bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan polemik yang tidak mendatangkan manfaat kepada negeri.

Beliau berkata Perak baru sahaja menubuhkan kerajaan selama enam bulan dengan setiap pemimpin sedang memberi fokus menguatkan kerajaan selain membuat persiapan bagi meneruskan pelan Perak Sejahtera 2030.

"Saya juga mengajak semua rakan-rakan parti politik termasuk pembangkang untuk bermuhasabah, menyuburkan politik matang dengan memberi idea atau teguran demi kebaikan rakyat dan kemajuan negeri, bukan mencipta persepsi, yang akhirnya mengundang ketidakstabilan," katanya.

Ketika ditanya sama ada laporan polis akan dibuat berikutan kenyataan Razman itu boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat, Saarani berkata: “Tak mustahil kita akhirnya akan membuat laporan polis sebab itu merupakan kenyataan berbaur hasutan,".

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan