AM

Kerosakan Pelbagai Premis Akibat Ribut Dianggarkan Bernilai Lebih Rm4 Juta

22/05/2023 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kerosakan yang berlaku di sekolah dan premis kediaman di Wilayah Persekutuan akibat kejadian ribut Jumaat lepas dianggarkan melibatkan kos pembaikan lebih RM4 juta, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. 

Beliau berkata kejadian ribut minggu lalu menyebabkan sebanyak 29 sekolah di Kuala Lumpur terjejas dan kos yang dianggarkan untuk membaik pulih kesemua sekolah adalah RM3 juta.

“Kerja  pembaikan sekolah akan dilaksanakan secepat mungkin menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM).  Terpulang kepada KPM untuk minta Jabatan Kerja Raya (JKR) laksanakan kerja baik pulih  atau KPM lantik kontraktor sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan  (SK) Setapak di sini hari ini.

Menurut Nanta selain daripada sekolah turut terjejas dalam kejadian ribut Jumaat lalu ialah kuarters pekerja di Kementerian Kerja Raya melibatkan lima premis rumah setingkat.

 “Kerja pembaikan telah dijalankan oleh JKR sendiri dan ia tidak melibatkan sebarang kos. Kita boleh buat sendiri dengan bajet dalaman,” katanya. 

Beliau berkata premis lain turut terlibat dalam kejadian ribut ialah lima unit rumah kuarters di Kementerian Pertahanan yang melibatkan anggaran kerja pembaikan mencecah RM500,000.

“Satu lagi  ialah kejadian pokok menghempap rumah di Kedutaan Palestin. JKR sudah menerima laporan dari Bahagian Pengurusan Hartanah di Kuala Lumpur dan  sudah memanggil kontraktor untuk memotong pokok yang tumbang, menjalankan kerja pembersihan dan kerja pembaikan elektrik dengan anggaran kos RM600,000,” katanya. 

Sementara itu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang turut hadir bersama Nanta untuk melawat SK Setapak berkata sekolah berkenaan merupakan sekolah yang paling teruk terjejas dalam kejadian ribut minggu lepas. 

“Selepas lawatan ini  tindakan susulan akan dilaksanakan supaya kerja pembersihan dan pembaikan dapat diselesaikan dalam tempoh cuti sekolah.  Sebanyak lapan kelas mengalami pelbagai kerosakan melibatkan peralatan pembelajaran dan pendawaian yang terjejas,” katanya. 

Difahamkan 70 murid SK Setapak yang terjejas ialah murid berkeperluan khas dan buat masa ini mereka ditempatkan di makmal dan kelas lain. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan