DUNIA

ANGKATAN BERSENJATA SINGAPURA SERTAI LIMA’23

23/05/2023 08:15 PM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 23 Mei (Bernama) -- Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23), menurut Kementerian Pertahanan republik itu (MINDEF).

“Ia atas jemputan kerajaan Malaysia,” menurut MINDEF dalam satu kenyataan hari ini.

Penyertaan SAF termasuk kapal frigat kelas Formidable milik Tentera Laut Republik Singapura (RSN) RSS Steadfast dan pameran statik sistem persenjataan Helikopter Serangan Apache AH-64D Tentera Udara Singapura (RSAF) seperti peluru berpandu AGM-114 Hellfire, Roket Hydra-70.

Di samping itu, sebuah helikopter RSAF CH-47F buat kali pertama akan mengambil bahagian dalam pameran statik.

Menurut MINDE,  SAF yang telah menyertai LIMA sejak 2001, menekankan hubungan pertahanan yang mesra dan berpanjangan antara Singapura dan Malaysia.

“SAF dan Angkatan Tentera Malaysia berinteraksi secara kerap melalui latihan dua hala, pertukaran profesional dan kehadiran bersilang kursus serta aktiviti pelbagai hala di bawah skop Pengaturan Pertahanan Lima Negara dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)/ADMM-Plus.

“Interaksi ini mengukuhkan hubungan profesional dan persefahaman antara kedua-dua angkatan tentera,” menurut kementerian itu.

Mengenai perkembangan terkini Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, yang menghadiri LIMA tahun ini, MINDEF memaklumkan bahawa menteri itu turut bertemu dengan kakitangan RSAF yang menyertai pameran itu.

Dr Ng turut menghadiri majlis jamuan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Selasa.

"Kedua-dua Menteri mengesahkan hubungan pertahanan yang mesra  yang telah terjali sekian lama antara Singapura dan Malaysia," katanya.

Dr Ng diiringi oleh Setiausaha Tetap (Pertahanan) Chan Heng Kee, Panglima Angkatan Tentera Laksamana Muda (RADM) Aaron Beng, Panglima Tentera Udara Mejar Jeneral Kelvin Khong, Panglima Tentera Laut RADM Sean Wat, dan pegawai MINDEF yang lain.

Ditubuhkan pada 1991 dan diadakan dua tahun sekali, LIMA satu daripada pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di Asia-Pasifik, dengan edisi tahun ini melibatkan lebih 600 peserta pameran dari lebih 30 negara.

Edisi ke-16 bermula hari ini dan berakhir pada 27 Mei dengan pameran berkaitan aeroangkasa berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dan segmen maritim di Resorts World Langkawi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan