AM

MRT Corp Akan Laksanakan Pemeriksaan Awam Lanjutan Jajaran MRT Laluan Mutiara

21/02/2026 03:56 PM

GEORGE TOWN, 21 Feb (Bernama) -- Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) akan melaksanakan sesi Pemeriksaan Awam untuk mendapatkan maklum balas terhadap Pindaan Skim Kereta Api bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulai Pinang yang menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Perai.

MRT Corp dalam satu kenyataan berkata Pemeriksaan Awam selama tiga bulan itu yang bermula dari 24 Feb hingga 24 Mei 2026, memberi peluang kepada orang awam untuk meneliti dan memberikan maklum balas terhadap lanjutan jajaran, lokasi stesen, serta butiran projek yang berkaitan.

“Pindaan Skim Kereta Api itu merangkumi beberapa penambahbaikan terhadap skop projek, terutamanya lanjutan jajaran rel merentasi laut yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar Seberang Perai.

“Jajaran rentas laut kira-kira enam kilometer itu akan menghubungkan KOMTAR dan Penang Sentral, dengan anggaran masa perjalanan sekitar lapan minit,” menurut kenyataan itu.

​MRT Corp berkata Penang Sentral akan dibangunkan sebagai stesen utama di Seberang Perai serta hab pengangkutan multimodal yang mengintegrasikan perkhidmatan feri, rel KTMB dan bas sedia ada. 

“Skim yang dipinda itu turut memperuntukkan kira-kira 1,000 petak parkir tambahan di Penang Sentral.

“Menerusi hab ini, penumpang akan menikmati kesalinghubungan terus ke destinasi utama seperti KOMTAR, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.

Susulan penstrukturan semula pembangunan Penang South Reclamation (PSR) daripada tiga pulau kepada satu pulau, skim yang dipinda ini turut melibatkan penyelarasan semula terhadap jajaran asal yang menggugurkan Jajaran di PSR sepanjang 3.15 kilometer serta tiga stesen. 

Bagaimanapaun, MRT Corp masih mengekalkan jajaran sepanjang 1.5 kilometer di pulau PSR, manakala Stesen A1 (PSR-A) diklasifikasikan semula sebagai stesen provisional bagi menyokong pembangunan masa depan. 

Pindaan lain termasuk penambahan stesen di Penang Sentral dan Bagan Luar (provisional), serta pembinaan depoh sekunder untuk simpanan kereta api di Tapak Pesta Sungai Dua.

LRT Laluan Mutiara, yang memulakan pembinaan pada 2025 dan dijangka memulakan operasi pada Disember 2031, akan merangkumi sepanjang kira-kira 29.67 kilometer dengan 20 stesen dan dua stesen sementara.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Pemeriksaan Awam itu MRT Corp akan membuka reruai di beberapa lokasi utama sekitar Pulau Pinang termasuk KOMTAR, Penang Sentral dan Stesen KTM Butterworth.           Jadual penuh serta senarai lokasi boleh dirujuk di www.mymrt.com.my.

​-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan