AM

Kesiapsiagaan Maritim Keutamaan Kerajaan Tangani Ancaman Di Perairan

24/05/2023 12:52 AM

LANGKAWI, 23 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata soal pertahanan dan kesiapsiagaan maritim negara khususnya tentera laut menjadi keutamaan kerajaan dalam menangani ancaman di perairan Malaysia.

Katanya beliau akan melihat keperluan itu namun segala keputusan akan dibuat mengikut keupayaan negara untuk menyediakan keperluan itu.

“Malaysia adalah sebuah negara maritim. Keseluruhan perairan itu membentuk negara Malaysia. Soal pertahanan dan kesiapsiagaan maritim khusus tentera laut jadi keutamaan kita,” katanya kepada Bernama dan RTM ketika menghadiri program “Fleet Review” sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi  (LIMA ‘23) di Resort World Langkawi di sini hari ini.

Fleet Review ialah suatu acara perhimpunan kapal-kapal daripada tentera laut negara tertentu yang disaksikan oleh ketua negara dan/atau orang kenamaan awam dan tentera.  

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan,  Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.

Terdahulu sebaik tiba di sini, Anwar hadir di Resort World Langkawi bagi menyempurnakan perasmian  segmen maritim.

Mengulas mengenai LIMA ‘23, Perdana Menteri berkata ia mendapat sambutan yang baik dan penganjurannya cukup memuaskan.

“Ia sudah tentu akan beri pulangan kepada sektor ekonomi dan ketenteraan dan pertahanan negara secara umum,” katanya.

LIMA ‘23 bertemakan “Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia” bermula hari ini hingga 27 Mei.

Edisi kali ini melibatkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (Sektor Pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (Sektor Komersial).

Kali terakhir acara dwitahunan itu diadakan ialah pada 2019 dan ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan