AM

AGONG BERANGKAT BERTEMU PUTERA ALBERT II DI PALACE OF MONACO

28/05/2023 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bertemu dengan Putera Monaco Putera Albert II di Palace of Monaco, semalam (27 Mei). 

Menurut Facebook Istana Negara hari ini, keberangkatan tiba Seri Paduka di Palace of Monaco pada 10.30 pagi waktu tempatan (4.30 petang waktu Malaysia) disambut oleh Putera Albert II. 

Selesai majlis di Palace of Monaco, Al-Sultan Abdullah dan Putera Albert II berkenan berangkat  ke majlis pelancaran kenderaan pelbagai tugas Rover Lunaire Flex di ibu pejabat Venturi, sebuah syarikat pengeluar automatif yang berpangkalan di Monaco.  

Menurut Istana Negara, majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Putera Albert II dan turut dihadiri Perdana Menteri Monaco Serge Telle serta pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif Venturi Gildo Pastor. 

“Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima persembahan taklimat berkenaan Rover Lunaire Flex, yang dijangka mula beroperasi dan digunakan di bulan pada 2026 dan buat pertama kalinya dipamerkan kepada awam semalam,” menurut catatan itu. 

Seri  Paduka  turut berkenan berangkat mengunjungi pasukan F1 Mercedes-PETRONAS di The Paddocks dan kemudiannya, Automobile Club Monaco pada sebelah petang waktu tempatan, semalam.

Seri Paduka kini dalam rangka lawatan khas lima hari ke Monaco sehingga 30 Mei atas persilaan Putera Albert II.  

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan