DUNIA

Timbalan Menteri Luar Akan Hadiri Mesyuarat Peringkat Menteri 'global Coalition To Defeat Daesh' Di Riyadh

07/06/2023 07:36 PM

PUTRAJAYA, 7 Jun (Bernama) --Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin akan mewakili Menteri Luar ke Mesyuarat Peringkat Menteri Pakatan Global Menentang ISIS/Daesh (Global Coalition to Defeat ISIS/Da’esh) di Riyadh, Arab Saudi pada Khamis.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan Mohamad akan berkongsi strategi Malaysia untuk membanteras keganasan melalui pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “pendekatan “keseluruhan masyarakat”.

Menurut kenyataan itu, langkah pembinaan kapasiti merupakan aspek penting bagi memerangi keganasan dan ekstremisme melampau.

"Penyertaan Malaysia pada mesyuarat peringkat menteri berkenaanmembuktikan komitmen untuk memainkan peranan proaktif dalam pelbagai inisiatif antarabangsa dan serantau dalam usaha itu," menurut kenyataan itu.

Pakatan global itu ditubuhkan pada September 2014 susulan kegusaran terhadap aktiviti Daesh dan ancaman yang ditimbulkannya terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Edisi kesepuluh mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Bin Farhan Al-Saud dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony J. Blinken.

Mesyuarat itu bertujuan memperkukuh komitmen negara-negara anggota Pakatan bagi menentang Da’esh dalam segenap aspek, melumpuhkan rangkaiannya serta mengekang penularan pengaruh kumpulan pengganas.

Timbalan Menteri Luar turut dijadual bertemu pegawai-pegawai kanan yang lain bagi membincangkan pelbagai perkara dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan