AM

TEKNOLOGI AWAN, PUSAT DATA MAIN PERANAN BESAR DALAM DIGITAL MALAYSIA - FAHMI

07/06/2023 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Teknologi awan dan pusat data memainkan peranan besar dalam memajukan inisiatif Digital Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata teknologi awan dan pusat data adalah antara perkara asas untuk mencapai sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

“Kementerian ini telah memperjuangkan Dasar Utamakan Awan dan menyaksikan penerimagunaan teknologi awan oleh sektor awam semakin berkembang.

“Pelabur juga akan mendapati kita komited untuk menyediakan insentif cukai dan infrastruktur keselamatan yang wajar, kemudahan tenaga hijau dan lokasi untuk pusat data,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan Invest Malaysia Siri 2 bertemakan ‘Digital Malaysia: Infrastruktur Esok, Hari Ini’ di sini, pada Rabu.

Fahmi berkata Malaysia adalah antara pasaran pusat data paling maju di Asia Tenggara.

“Anda pastinya mengetahui mengenai pengumuman berkaitan pelaburan besar yang dibuat oleh syarikat global seperti Amazon, Microsoft, Bridge Data Centres, Keppel Data Centres, Google dan Alibaba.

“Organisasi penganalisis pasaran, Arizton menganggarkan nilainya akan meningkat kepada US$1.57 bilion (US$1=RM4.59) pada 2027,” katanya.

Beliau berkata selain itu penting untuk meneliti teknologi 5G dan awan dalam konteks inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang lebih luas, menghubungkan semua rakyat Malaysia kepada janji bahawa ekonomi digital sebagai pemacu utama yang akan membantu membawa kemajuan saksama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan