AM

Wujudkan Program Sekolah Penerangan Untuk Komuniti Madani - Fahmi

19/10/2024 11:46 PM

KOTA KINABALU, 19 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi berhasrat mewujudkan program yang dipanggil sebagai Sekolah Penerangan, dengan semua Komuniti MADANI di setiap negeri akan mengikuti program berkenaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perancangan itu bertujuan memastikan pasukan dalam Komuniti MADANI memahami dasar kerajaan, program kerajaan serta mampu membantu menangkis sekali gus menyangkal fitnah dan berita palsu.

"Harapan saya pasukan Komuniti MADANI yang ada 1,878 di negara ini mampu menyantuni rakyat dan menyampaikan maklumat yang kita harap berkesan, selain mengumpul maklumat tentang isu yang dihadapi pada peringkat setempat.

"Saya juga meminta supaya Komuniti MADANI mendampingi rakyat, membantu bila berlaku sama ada kesukaran, musibah dan mereka harus bersama dengan rakyat untuk menyampaikan sedikit bantuan, di samping turut memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut yang boleh diambil agensi terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sembang Santai Komuniti MADANI Daerah Putatan di sini hari ini.

Sementara itu dalam amanatnya pada program berkenaan, Fahmi berkata modul untuk sekolah penerangan itu antara lain memberi set kemahiran kepada rakan Komuniti MADANI termasuk cara menyampaikan maklumat berkesan dengan hujah ampuh serta efisien.

"Misalnya dalam konteks Belanjawan 2025, kita mahu rakan pada peringkat Komuniti MADANI mentafsirkan dokumen besar lebih 290 perenggan, lebih 50 ikhtiar, dan belanjawan (bernilai) RM421 bilion, yang tertinggi dalam sejarah hingga kini.

"Sampaikan maklumat itu dalam bentuk paling bermakna, dan sejujurnya perkara paling bermakna bagi rakyat ialah bantuan, ada keperluan untuk kita ringkas, rangkum dalam cara mudah untuk semua bentuk bantuan yang layak diterima," katanya.

Di samping itu, Fahmi berkata dalam konteks Belanjawan 2025 juga, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak melawan rasuah, ketirisan serta pembaziran dan duit rakyat perlu dibelanjakan dengan lebih baik, cermat serta cekap.

Sementara itu, beliau turut meminta Jabatan Penerangan meneliti dan mengambil tindakan kepada Komuniti MADANI yang kurang aktif sama ada komuniti berkenaan ditambah baik atau dicari rakan yang sedia membantu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan