DUNIA

Arab Saudi Berusaha Pastikan Kelancaran Pengangkutan Dan Logistik Jemaah Haji Musim Ini

23/06/2023 12:36 PM

MAKKAH, 23 Jun (Bernama) -- Timbalan Presiden Pihak Berkuasa Am Pengangkutan Darat dan Logistik Arab Saudi Fawaz bin Zanaf Al-Sahli berkata berkata pihaknya telah melakukan segala persediaan dan seliaan ke atas semua bentuk perkhidmatan pengangkutan bagi memastikan keselamatan jemaah haji di Tanah Suci.

“Kami telah menyelesaikan sejak awal semua kerja penyeliaan dan pengawalseliaan ke atas perkhidmatan pengangkutan darat, laut dan rel serta memastikan syarikat berlesen terlibat mematuhi semua peraturan dan keperluan teknikal demi keselamatan jemaah haji,” kata beliau menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas lawatan pemeriksaan lapangan bersama Menteri Pengangkutan Arab Saudi Saleh bin Nasser Al-Jasser bagi memantau persiapan kemudahan dan fasiliti untuk jemaah haji tahun ini.

Beliau berkata antara inisiatif penting yang dibentangkan pihaknya untuk musim haji tahun in termasuk menyediakan 1000 skuter elektrik antara Mina dan Masjidil Haram untuk kegunaan jemaah selain laluan khas pejalan kaki tanpa kenderaan bagi memendekkan masa perjalanan dan memastikan keselamatan mereka.

Beliau berkata, bas pandu sendiri akan mula diuji di laluan yang ditetapkan pada 8 Zulhijjah ini selain akan menggunakan dron bagi memantau kelancaran trafik serta mengukur kualiti udara pada musim haji ini.

Selain itu, lebih 90,000 pemeriksaan telah dilakukan termasuk 13,000 pemeriksaan ke atas pengangkutan bas antara Makkah dan Madinah.

Beliau berkata semua langkah itu dilakukan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan jemaah semasa mengerjakan ibadah haji sehingga mereka selamat pulang ke tanah air masing-masing.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan