KUCHING, 10 Julai (Bernama) -- Dasar Karbon Kebangsaan yang bertujuan menyediakan panduan, seterusnya membantu usaha perdagangan karbon di peringkat negeri dijangka siap untuk dilaksanakan tahun ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan Jumaat ini bagi membentangkan status terkini dasar serta memperincikan skop perundangan yang perlu dilaksanakan di bawah kerangka dasar berkenaan.
“Mesyuarat ini akan turut dihadiri menteri besar dan ketua menteri setiap negeri. Fungsi di peringkat Persekutuan adalah sebagai pemudah cara (bagi aktiviti perdagangan karbon) di negeri terlibat, jadi kita akan sediakan dasar tersebut tahun ini... dan asasnya akan dibentangkan dalam mesyuarat MyCAC pada minggu ini,” katanya.
Bercakap dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini, beliau berkata berdasarkan hasil perbincangan dalam mesyuarat berkenaan nanti, kerajaan akan turut meneliti keperluan penguatkuasaan undang-undang bagi aspek kawal selia dan pengewangan perniagaan karbon.
“(Perdagangan karbon) ini tidak memerlukan pindaan undang-undang kerana ia cuma melibatkan segi perundangan dan dasar sahaja,” katanya dan menambah kementeriannya giat mengadakan perbincangan berkaitan perdagangan karbon bersama kerajaan negeri memandangkan hal berkaitan tanah bagi penyimpanan karbon adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Pada 30 Jun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan sedang memperincikan cadangan untuk meletakkan aktiviti perniagaan karbon di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata buat masa ini, segala isu berkaitan dengan karbon berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
Terdahulu, semasa kunjungan hormat itu, Nik Nazmi dan Abang Johari menyaksikan majlis penyerahan lapan projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) yang telah siap sepenuhnya oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Kerajaan Sarawak.
Pelaksanaan projek melibatkan peruntukan berjumlah RM63 juta itu membabitkan koridor-koridor sungai Batang Kayan terletak di Lundu, Batang Balingian (Mukah) serta Batang Sadong di Pekan Gedong dan Serian.
Selain itu, projek melibatkan kerja-kerja pengukuhan tebing sungai turut diadakan di Batang Sadong, Simunjan, Retaining Wall Sungai Baram, Rumah Naing, Pekan Sabtu Oya dan Betong.
“Projek ini juga memberi nilai tambah dengan pembangunan kawasan riadah penduduk setempat serta membawa manfaat kepada hampir 195,000 orang penduduk setempat,” kata Nik Nazmi.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial