KOTA KINABALU, 13 Julai (Bernama) -- Arnie Jaliusih, 20, salah seorang pelajar cemerlang STPM yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, memanfaatkan waktu Subuh untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih berkesan.
Pelajar tunggal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, Kiulu yang memperoleh PNGK 4.0 itu berkata mengulang kaji pelajaran pada waktu Subuh, memudahkannya untuk memberi fokus kepada nota-nota bagi mengingat fakta, semasa menjawab soalan peperiksaan.
“Saya hanya tidur lima jam sahaja ketika menghadapi waktu peperiksaan, kalau saya penat… saya akan rehat sejam. Waktu malam pun begitu juga. Saya tidak akan paksa diri saya kalau tidak dapat (mengulang kaji) sebab nanti tidak masuk (ingat) juga.
“Saya akan tidur dulu, Subuh baru saya bangun, saya ikut kesesuaian belajar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu di sini hari ini.
Mahu menjadi seorang guru, anak kepada pasangan petani Malian Bangkulat, 53, dan Jaliusih Madakol, 63, juga berkata beliau terpaksa tinggal di asrama sekolah, kerana keadaan laluan berbukit selain jalan raya yang tidak rata menyukarkannya berulang alik ke sekolah dari rumahnya.
Bagi Noraliah Syairah Sailieh, 20, dari SMK Sook, Keningau juga pelajar tunggal dari sekolahnya, yang berjaya menempatkan diri antara 75 pelajar terbaik seluruh Sabah dengan memperoleh PNGK 4.00.
Anak bongsu daripada lima beradik itu, tidak menyangka akan mendapat keputusan STPM sebaik itu kerana tidak pernah mencapai PNGK seperti itu, sepanjang tempoh berada dalam tingakatan enam.
“Tidak sangka dapat 4.00, masa terima surat saya terkejut juga sebab ingat bukan 4.00 keputusan saya,” katanya yang juga mahu menjadi seorang pendidik sama seperti kakaknya, yang kini seorang guru.
Farraedyiahidayah Fadzil, 20, juga pelajar tunggal dari SMK Pekan Kuala Penyu, Kuala Penyu yang memperoleh PNGK 4.00 di sekolahnya berkata antara amalannya dalam tingkatan enam ialah, memberi tumpuan semasa dalam kelas selain bertanya kepada guru sekiranya tidak memahami pelajaran.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata setiap hari, sekurang-kurangnya beliau akan memperuntukkan masa untuk mengulang kaji pelajaran, bagi memastikan dapat memenuhi cita-citanya untuk menjejakkan kaki ke universiti selepas ini.
“Pilihan utama saya ialah masuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pilihan kedua di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya yang mahu menjadi contoh kepada adik-adiknya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial