IPOH, 14 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kaunter bayaran saman yang menawarkan pengurangan saman terpilih sebanyak 50 peratus di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023.
Menurut poster yang diuar-uarkan menerusi hantaran Facebook Merdeka360, tawaran tersebut berlangsung di reruai nombor lapan pada Ahad (16 Julai) bermula pukul 8.30 pagi sehingga pukul 3 petang dengan pembayaran secara tunai sahaja.
“Semua saman layak mendapat diskaun kecuali kemalangan, saman NC (non compoundable), saman status Op Selamat, saman bicara mahkamah, saman berkaitan kenderaan berat seperti motorlori, kesalahan potong secara merbahaya atau potong barisan serta kesalahan menggunakan lorong kecemasan,” menurut poster tersebut.
Selain itu, tiga lagi saman yang tidak layak mendapat diskaun adalah ketidakpatuhan lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar dan pengubahsuaian ekzos kenderaan.
Pelbagai program dilaksanakan di venue berkenaan antaranya 6,600 Langkah Perpaduan, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG 2023) bermula Sabtu sehingga Ahad ini.
Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan diadakan di Dataran Putrajaya manakala Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept berlangsung di Kuching, Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial