EKONOMI

G7 Malaysia Tandatangani Perjanjian Kerjasama Dengan Tai, Mou Dengan Havelsan

02/08/2023 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Syarikat Malaysia, G7 Aerospace Sdn Bhd, menandatangani perjanjian Program Kerjasama Industri (ICP) dengan Turkish Aerospace Industries (TAI) mengenai Sistem Udara Tanpa Pemandu (UAS) ANKA pada Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa 2023 (IDEF'23) edisi ke-16 di Istanbul, Turkiye.

TAI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Temel Kotil manakala G7 Aerospace diwakili oleh Pengarah Urusannya Datuk Ir Kamarulzaman Zainal.

Kamarulzaman berkata perjanjian itu akan membolehkan TAI melaksanakan projek ICP berikutan pembelian UAS ANKA TAI oleh kerajaan untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Kami melihat perkhidmatan bernilai sehingga US$5 juta yang kami (G7 Aerospace) akan sediakan," katanya sambil menambah bahawa perjanjian itu adalah mukadimah kepada kontrak yang akan ditandatangani antara kedua-dua syarikat di Kuala Lumpur hujung bulan ini.

Kontrak pembekalan kenderaan udara tanpa pemandu kategori ‘medium-altitude, long-endurance’ (MALE) ANKA telah ditandatangani antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan TAI semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘23) pada Mei.

Menurut Kamarulzaman, 11 projek dengan nilai ICP keseluruhan bersamaan dengan nilai kontrak pembekalan akan dilaksanakan oleh TAI dan diuruskan oleh G7 Aerospace, menjadikannya sebahagian daripada kandungan tempatan.

Sementara itu, G7 Aerospace turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah lagi syarikat pertahanan utama Turki, Havelsan, di IDEF'23 untuk bekerjasama dalam Penyelenggaraan Tahap Depot Avionik (DLM).

Kamarulzaman berkata kerjasama itu adalah untuk sama-sama menyokong pesawat legasi yang kini dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia.

"Kedua-dua syarikat akan bekerjasama dalam pembaikan peringkat komponen, pengubahsuaian dan naik taraf avionik pesawat," katanya.

Sebagai pertunjukan pertahanan global keempat terbesar di dunia, IDEF'23 telah diadakan dari 25 hingga 28 Julai dan mempamerkan teknologi serta produk pertahanan tercanggih termasuk kenderaan darat, senjata, simulator, radar, sonar, penyelesaian platform tentera laut, sistem penerbangan, peluru berpandu, kenderaan logistik, peralatan bekalan dan sistem keselamatan.

Bernama, bersama tujuh organisasi media lain dari Malaysia dan Indonesia diundang ke acara dwitahunan itu oleh TAI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan