AM

KURSI TUN DR ISMAIL DI KITA UKM TUMPU PENYELIDIKAN PERPADUAN

03/08/2023 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Penubuhan Kursi Tun Dr Ismail di Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi penanda aras yang penting dalam meneliti penyelidikan mengenai perpaduan dan masyarakat.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata kursi itu juga menjadi teras dalam menyelaras operasi penyelidikan merentasi disiplin dan fakulti, serta boleh menjadi hab kepada penyelidikan berteraskan perpaduan pada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Di peringkat antarabangsa pula, beliau berkata ia akan menyerlahkan keunikan Malaysia yang sering dirujuk sebagai sebuah negara pelbagai bangsa, budaya dan agama yang berupaya mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian dan berkeadaan aman.

“Penubuhan kursi itu juga menjadi kunci ke arah pengumpulan bahan-bahan kajian, penerbitan dan filem yang berbentuk analog dan digital bagi membina koleksi perpaduan, setara dengan koleksi Asia Tenggara di Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk mewujudkan Kursi Tun Dr Ismail di UKM sebagai  menghargai legasi kepimpinan dan cetusan pemikiran Allahyarham yang bertunjangkan perpaduan dan integrasi kaum.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan berkata usaha serta pengiktirafan itu adalah bagi memberi ruang kepada generasi muda dan penerus untuk menyemangati sumbangan pahlawan bangsa dan negarawan ulung Dr Ismail khususnya dalam aspek perpaduan dan penyatuan kaum.

Mohd Ekhwan berkata UKM sentiasa bersedia dan komited dalam melaksanakan inisiatif yang mampu memberi impak kepada masyarakat selari dengan aspirasi yang digagaskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Menyahut saranan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, UKM sentiasa proaktif dalam menjuarai pelbagai perkara dan isu yang melibatkan pemerkasaan negara bangsa dan pembentukan tamadun Madani, sejajar dengan bidang tujahannya yang bersifat kebangsaan.

“Diharapkan kursi ini dapat memperkasa agenda penyelidikan, terutama dalam konteks perpaduan yang akan menjadi asas jati diri kebangsaan, bukan sahaja dalam kalangan warga universiti, tetapi juga semua lapisan masyarakat di negara ini,” katanya.

Mohd Ekhwan juga menaruh keyakinan bahawa kursi itu bakal memainkan peranan dalam meluaskan naratif baharu perpaduan menerusi tiga asas utama pengurusan ilmu dan inovasi iaitu melalui akademik analisis, penglibatan profesional dan advokasi awam.

 Selain itu, beliau berkata kewujudan kursi itu di KITA yang kini diterajui Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin adalah tepat pada masanya, selari dengan usaha kerajaan untuk memperkasa agenda perpaduan negara.

Menurutnya, KITA telah terlibat secara langsung, aktif dan berterusan dalam konteks Perpaduan menerusi Kementerian Perpaduan Negara.

“Kerjasama ini telah terjalin erat sejak penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara pada 2013 dan KITA telah membantu membina kerangka Pelan Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan pada 2015 dengan memperkenalkan konsep tiga serangkai iaitu perpaduan yang diidamkan, kesepaduan yang dicapai, penyatupaduan yang diusahakan.

“Justeru, penubuhan Kursi Tun Dr Ismail yang memfokus kepada penyelidikan perpaduan berada tepat dan sesuai dengan pengalaman, kemahiran dan kekuatan KITA,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan