AM

Semakan Skim Saraan Tepat, Jadikan Penjawat Awam Lebih Kompeten, Dinamik

08/08/2023 10:02 AM

KUCHING, 8 Ogos (Bernama) -- Langkah kerajaan mengkaji semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam disifatkan penjawat awam sebagai tepat pada masanya bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan golongan itu memandangkan kali terakhir skim itu dikaji adalah lebih 10 tahun lalu.

Seorang penjawat awam Robin Junang, 56, berkata kajian itu perlu mengambil kira perkembangan kos sara hidup dan keperluan penjawat awam bagi memastikan mereka terus kompeten dan dinamik untuk memperbaiki perkhidmatan.

Katanya kajian itu juga perlu mencakupi ganjaran yang dapat menguatkan lagi semangat dan menggalakkan penjawat awam untuk mempelajari ilmu baharu.

“Apa yang saya faham, kos sara hidup di bandar-bandar sudah meningkat lebih 40 peratus berbanding 10 tahun yang lalu dan ini menagih penambahbaikan termasuklah elaun dan imbuhan tetap untuk penjawat awam,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali semalam berkaitan kajian semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam yang meliputi aspek saraan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam.

Mohd Zuki berkata kajian itu akan memberi penekanan kepada kemampanan saraan penjawat awam bagi memastikan upah, gaji dan elaun adalah setimpal dengan tanggungjawab serta seiring dengan peningkatan kos sara hidup. 

Menurut Mohd Zuki sementara kajian itu diteliti, kerajaan akan membuat penambahbaikan kepada kemudahan elaun untuk dijadikan sebahagian daripada pembentangan Belanjawan MADANI yang akan dibentangkan Oktober ini.

Sementara itu, seorang lagi penjawat awam, Sharifah Hafizah Wan Adeni, 37, berharap kajian itu akan mempertimbangkan kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) yang lebih tinggi bagi kumpulan pelaksana yang bergred rendah dalam perkhidmatan awam.

Sharifah Hafizah berkata pada masa ini, KGT bagi mereka yang dalam Gred 11 hanyalah RM80 setahun dan sepanjang 13 tahun beliau berkhidmat, KGT hanya dinaikkan sebanyak RM10 sahaja setahun.

Selain itu katanya elaun-elaun seperti imbuhan tetap perkhidmatan dan elaun perumahan perlu disemak semula supaya selaras dengan keperluan semasa penjawat awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan