EKONOMI

Unit AWC Peroleh Kontrak Pusat Data Bernilai RM22.18 Juta

07/04/2026 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kumpulan perkhidmatan kejuruteraan yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, AWC Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya Qudotech Sdn Bhd memeterai kontrak bernilai RM22.18 juta daripada kontraktor usaha sama (pemberi kontrak) berhubung projek pusat data.

Identiti pemberi kontrak bagaimanapun tidak didedahkan mengikut keperluan kerahsiaan di bawah perjanjian berkenaan, kata AWC dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kontrak yang diperoleh melalui surat lantikan pada Selasa itu dijangka disiapkan menjelang 27 Dis, 2026.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AWC Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata kontrak berkenaan mencerminkan kepercayaan rakan kerjasama mereka terhadap keupayaan syarikat untuk melaksanakan kerja-kerja khusus bagi projek pusat data.

“Ini merupakan kemenangan kontrak pusat data kedua bahagian kejuruteraan kami dalam tahun kewangan 2026.

"Kemenangan ini mengukuhkan lagi strategi kami untuk memperluas kehadiran dalam projek infrastruktur berteknologi tinggi dan kritikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Kabeer berkata kumpulan kekal berwaspada susulan langkah-langkah tarif baharu dan konflik yang berterusan di Asia Barat serta kesannya terhadap harga minyak global, aliran perdagangan dan sentimen pelabur.

“Kami akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan menguruskan perniagaan kami dengan berhemat bagi melindungi prestasi selain kepentingan jangka panjang kumpulan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan