FOKUS BERNAMA

RSPO BANTU PEKEBUN KECIL SAWIT AKSES PASARAN ANTARABANGSA

29/08/2023 11:12 AM
Daripada Soon Li Wei

Pekebun kecil kelapa sawit di Malaysia berpeluang menjana pendapatan yang lebih tingggi menerusi program pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO).

Kedua-dua pensijilan itu membolehkan pekebun mengeluarkan produk sawit yang berkualiti lebih tinggi selain menjaga alam sekitar menerusi amalan perladangan yang mampan dan memenuhi piawaian antarabangsa.

Pekebun kecil dari Sabah, Abd Rahman Mohd Noor, 69, mengakui perkara itu.

Menurutnya, selepas memperoleh MSPO pada tahun lepas, dia meraih pendapatan yang lebih lumayan.

Menerusi inisiatif itu, dia yang mengusahakan ladang kelapa sawit seluas 30 hektar di Lahad Datu sejak lebih 30 tahun lepas, mula membekalkan hasil kepada Sawit Kinabalu yang membantunya memperoleh pensijilan tersebut secara berkelompok.

“Kini saya bersedia untuk mendapatkan pensijilan RSPO, jika diberi peluang, agar hasil sawit saya juga dapat dipasarkan secara lebih meluas di peringkat antarabangsa,” katanya  kepada Bernama.

pic-2

Bagaimanapun menurut Abd Rahman,  rata-rata pekebun kecil sepertinya masih kurang memahami pensijilan RSPO memandangkan penanaman sawit secara mampan yang dianjurkan oleh kerajaan dan juga badan antarabangsa tersebut adalah perkara baharu bagi mereka.

"Jika diberi insentif ataupun pembiayaan secara berkelompok untuk mendapatkan pensijilan RSPO, kami memang sangat mengalu-alukan dan bersedia mematuhi segala piawaian bagi memenuhi kehendak pensijilan itu," katanya.

Menurut RSPO, kos pensijilan adalah dalam lingkungan RM25,000 hingga RM40,000 untuk satu kumpulan, meliputi fi keahlian dan juga pengauditan. Kos itu juga berbeza mengikut saiz kelompok.

 

KELEBIHAN RSPO

Di sebalik kelebihan yang ditawarkan oleh program itu, Ketua Pegawai Eksekutif RSPO Joseph D’Cruz berkata kadar pensijilan RSPO dalam kalangan pekebun kecil di Malaysia masih terlalu rendah.

"Setakat ini kita ada 23 buah syarikat perladangan dan enam kelompok pekebun kecil terdiri daripada kira-kira 2,180 pengusaha, yang mempunyai pensijilan RSPO di seluruh Malaysia,” katanya dalam temu bual menerusi e-mel kepada Bernama.

Tambah beliau, berbanding syarikat perladangan yang besar, pekebun kecil juga lazimnya berdepan masalah untuk mematuhi piawaian RSPO khususnya dalam beberapa aspek seperti kos, kemahiran dan perundangan.

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merekodkan terdapat kira-kira 250,000 pekebun kecil berdaftar di negara ini selain  215,000 pekebun kecil bebas.

pic-3

Dalam usaha memenuhi tuntutan pasaran antarabangsa, Malaysia membangunkan MSPO yang diwajibkan ke atas semua penanam kelapa sawit di negara ini bermula 2020, namun sebagai sokongan lanjut, pekebun digalakkan memperoleh pensijilan RSPO yang dibangunkan oleh badan bukan kerajaan yang disertai oleh pemain industri sawit. 

Setakat Jun 2023, seluas 1.44 juta hektar atau 95.6 peratus daripada keseluruhan 1,508,060 hektar ladang kelapa sawit di Sabah telah memperoleh MSPO, dan kira-kira 26 peratus atau 425,882 hektar menerima pensijilan RSPO.

Sabah menyasarkan keseluruhan 1.5 juta hektar ladang kelapa sawit di negeri itu berstatus RSPO menjelang 2025. 

Mengulas lanjut, D'Cruz berkata pensijilan RSPO membolehkan pekebun kecil memperoleh pendapatan tambahan melalui jualan kredit RSPO selain menyumbang kepada pengeluaran minyak sawit lestari yang seiring dengan piawaian global.

“Faedah yang dinikmati ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan ekonomi pekebun kecil tetapi juga menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya, menambah pensijilan MSPO menjadi asas kepada pekebun kecil untuk menerima guna standard universal seperti RSPO.

  

KERJASAMA STRATEGIK

Sementara itu,  Pengurus Besar Pemampanan Sawit Kinabalu Nazlan Mohamad, selain membantu pekebun kecil memperoleh MSPO, syarikat tersebut amat menggalakkan mereka mendapatkan RSPO, yang turut disokong oleh WWF-Malaysia dari segi bantuan teknikal.

“Kebanyakan mereka menyatakan hasrat untuk mencapai taraf RSPO,” katanya, menambah syarikat itu sendiri sedang berusaha mendapatkan pensijilan RSPO dengan sasaran pada tahun ini.

Pengurus Kanan Pertanian Mampan WWF-Malaysia Max Donysius pula berkata memperoleh pensijilan MSPO adalah langkah penting ke arah mendapatkan pensijilan RSPO.

Katanya syarikat besar tidak mempunyai masalah untuk memperoleh pensijilan itu, namun bagi pekebun kecil dan sederhana, mereka berdepan kekangan dalam mematuhi standard RSPO, khususnya dari segi kos untuk mendapatkan pensijilan penuh.

pic-4

Justeru, bagi membantu mereka,  Donysius berkata badan itu menubuhkan Sustainable Palm Oil Team (SPOT) yang menyediakan sokongan teknikal kepada pekebun kecil dan membantu mereka membentuk kumpulan sebelum membimbing mereka dalam proses memperoleh pensijilan MSPO dan RSPO di Sabah. 

“SPOT menyasarkan untuk menyokong serta membantu 150 pekebun melibatkan ladang seluas 15,000 hektar di Tabin memperoleh pensijilan RSPO,” katanya pada sidang media baru-baru ini. 

Selain itu, WWF-Malaysia juga menyokong pensijilan bagi ladang seluas 70,000 hektar di Tawau-Kunak, Tabin dan kawasan rendah Sugut. 

Menurut Donysius, antara kelebihan pensijilan RSPO ialah pekebun kecil akan menerima insentif 40 peratus daripada harga premium sawit menerusi jualan kredit RSPO, sebaik sahaja ia melalui proses pensijilan, dan akan mendapat harga premium penuh apabila semua proses selesai. 

 

PERLADANGAN SAWIT LESTARI 

Malaysia menyumbang 32 peratus kepada pengeluaran minyak sawit dunia, dan pada tahun lepas negara ini merekodkan nilai eksport sawit berjumlah RM137.89 bilion.

Walau bagaimanapun, perladangan kelapa sawit kekal sebagai antara penyebab utama penebangan hutan di rantau ini yang memusnahkan habitat haiwan liar termasuk spesies terancam seperti orang utan, seladang dan gajah Borneo atau gajah pygmy.

“MSPO dan RSPO memainkan peranan penting bagi menangani penebangan hutan dalam rantaian bekalan produk minyak sawit, melindungi hidupan liar serta memulihara sumber semula jadi dan ekosistem,” jelas Donysius. 

“Bukan itu sahaja, RSPO juga membantu pekebun meningkatkan amalan pengurusan baik, sekali gus meningkatkan hasil,” tambah beliau.

 

PROSES PENSIJILAN 

Sementara itu, Pengurus Program RSPO Pekebun Kecil Malaysia Nur Nazifah Ahmad Rosland berkata untuk memperoleh pengiktirafan RSPO, syarikat perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan, dan pada masa ini terdapat tiga standard pensijilan, iaitu  2018 RSPO Principles and Criteria (P&C), 2019 RSPO Independent Smallholder (ISH) Standard dan 2020 RSPO Supply Chain Certification Standard.

"Begitu juga dengan MSPO. Mereka perlu patuhi dan lalui proses penetusahan yang berterusan, melalui audit tahunan, selain mengekalkan dan meningkatkan status pematuhan yang dicerminkan menerusi penambahbaikan,” katanya menerusi e-mel kepada Bernama.

pic-5

Menurut beliau, terdapat lebih 160 prinsip dan kriteria yang menjadi asas piawaian pensijilan RSPO.

“Tahap pensijilan kita adalah antara paling ketat dan tertakluk kepada semakan semula setiap lima tahun bagi memastikan piawaian itu kekal relevan,” tegasnya.

Ujarnya, bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil dalam program pensijilan tersebut, RSPO bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam industri serta kerajaan untuk mempromosikan  Jurisdictional Approach (JA) dalam kalangan pekebun kelapa sawit.

“JA melibatkan pensijilan pengeluaran minyak sawit di peringkat kawasan,” katanya, menambah wujud keperluan bagi menyokong lebih ramai pekebun kecil yang mewakili kira-kira 40 peratus daripada kawasan ladang di Malaysia, untuk menerima guna amalan perladangan yang baik dan diiktiraf bagi mengeluarkan minyak sawit lestari.

“Pensijilan juga membantu mereka mengakses pasaran baharu,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Nur Nazifah berkata bagi menggalakkan penyertaan pekebun kecil, RSPO menumpukan pada mekanisme yang dapat menyokong mereka menerusi pelbagai pendekatan seperti RSPO Independent Smallholder Standard yang bertujuan membantu pekebun menangani kekangan dalam mematuhi piawaian.

Selain itu, di bawah RSPO Smallholder Support Fund pula, pekebun kecil di seluruh dunia berpeluang mendapatkan pensijilan RSPO tanpa membabitkan sebarang kos, sementara RSPO Smallholder Engagement Platform menghubungkan pekebun dengan rakan kongsi berpotensi di samping menyediakan sumber kewangan dan bukan kewangan kepada mereka, jelas beliau.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan