DUNIA

Mahkamah Jerman Putuskan Pekerja Boleh Dipecat Jika Hina Ketua Dan Rakan Sekerja Di Whatsapp

25/08/2023 04:55 PM

ERFURT (Jerman), 25 Ogos (Bernama-dpa) -- Mahkamah Jerman dalam keputusan pertama seumpamanya memutuskan bahawa seorang pekerja boleh dipecat jika menghina majikan atau rakan sekerja mereka dalam kumpulan WhatsApp peribadi.

Hakim memutuskan bahawa walaupun ahli kumpulan mungkin berkongsi komen mereka secara sulit, tetapi apabila menyentuh mengenai kenyataan menghina atau berbaur perkauman, kerahsiaan hanya terpakai dalam kes luar biasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Khamis.

Jika kata-kata penghinaan itu diketahui umum, pekerja boleh dipecat, menurut keputusan Mahkamah Buruh Jerman selepas menimbang kes kumpulan WhatsApp di syarikat penerbangan TUIfly.

Kes itu membabitkan sekumpulan rakan dan dua saudara lelaki yang bekerja di TUIfly yang berkongsi "penghinaan jelas", yang belum sedia dikongsi semula oleh pegawai.

Tujuh rakan sekerja syarikat penerbangan itu bertukar-tukar mesej WhatsApp selama beberapa tahun, menghina satu sama lain dan mereka yang bukan sebahagian daripada kumpulan sembang itu.

Mereka berkongsi kenyataan menghina, berbaur perkauman, tidak berperikemanusiaan dan seksis serta menggalakkan keganasan, dengan ugutan untuk "menumbuk muka orang".

Sebahagian daripada sejarah sembang mereka telah disalin dan dihantar kepada majlis kerja dan pengurus kakitangan yang akhirnya menyebabkan mereka dipecat.

Mahkamah buruh sedang menimbang keputusan mahkamah rendah itu yang mendapati ahli kumpulan tersebut mempercayai bahawa sesi sembang mereka sah dan rahsia.

Mahkamah mendapati kumpulan sembang, sama ada merupakan komunikasi yang dilindungi dan sulit, bergantung kepada jenis mesej dan saiz serta komposisi kumpulan itu.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan