AM

Episod Fitnah Aset Th Dijual Kepada Bukan Islam Berakhir - Mujahid

30/08/2023 10:55 AM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menyifatkan episod fitnah berhubung aset Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam telah berakhir.

Mujahid menerusi hantaran di Facebook berkata ini selepas bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Ahmad Dusuki Abd Rani menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan pada Isnin lepas, serta diperintahkan membayar kos RM5,000.

Mujahid berkata rayuan Ahmad Dusuki itu berhubung dengan saman fitnah yang difailkan terhadap beliau berhubung dengan isu di sebalik penjualan aset TH dan berkaitan ciapannya berbunyi “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

“Dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuan, maka berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan oleh Dusuki dan pihak PAS sejak sekian lama khususnya ketika saya menjadi Menteri Agama bahawa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini telah menolak saman fitnah itu dengan kos RM11,000 sebelum penceramah bebas itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Katanya Ahmad Dusuki kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan berkenaan dengan kos RM7,000.

“Kini, dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuannya itu, membuktikan Dusuki akhirnya telah akur bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.

“Saya bersyukur kerana akhirnya nama saya telah dibersihkan…semoga dengan ini, semua fitnah yang sekian lama berlegar berkenaan isu Tabung Haji ini berakhir,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan