Wanita Warga Thailand Didenda RM9,000 Miliki 34kg Minyak Masak Bersubsidi

26/12/2024 05:43 PM

KANGAR, 26 Dis (Bernama) -- Seorang wanita Thailand didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 34 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi tanpa lesen pada Disember tahun lepas.

Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid turut memerintahkan Salmee Changwang, 49, yang bekerja sebagai pemandu grab dihukum penjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Salmee dituduh memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak masak peket 1kg bersubsidi sebanyak 34 peket iaitu 34kg dalam kenderaan pikap jenis Toyota Hilux Revo di Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian pada 4.30 petang, 19 Dis 2023.

Dia didakwa dalam keadaan menimbulkan syak dan niat munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak itu secara runcit atau borong tanpa lesen.

Pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Sementara itu, di mahkamah sama Hakim Sharifah Norazlita menjatuhi hukuman denda RM20,000 terhadap pemandu lori Haw Boon Guey, 58, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki campuran petrol dan diesel sebanyak 400 liter tanpa lesen pada Jun tahun lepas.

Hakim juga memerintahkan Boon Guey dipenjara lapan bulan jika dia gagal membayar denda tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan, Jalan Kaki Bukit berhampiran sebuah stesen minyak di Beseri pada 10.30 pagi, 21 Jun 2023.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama.

Pendakwaan kedua-dua kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis S. Mugunthan manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian membayar denda yang dikenakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan