POLITIK

Bekas Adun Pas Bukit Pasir Sertai Amanah

03/09/2023 12:19 AM

JOHOR BAHRU, 2 Sept (Bernama) -- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Bukit Pasir Najib Lep, mengumumkan penyertaan beliau dalam parti Amanah malam ini. 

Borang keahlian beliau diserah kepada Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu malam ini dalam satu ceramah kelompok di Sungai Abong.

Mohamad ketika ditemui pemberita berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan Najib dan berharap beliau akan dapat menyumbang kepada pemerkasaan dan memperkuatkan parti.

Najib adalah satu-satunya wakil PAS di DUN Johor sebelum dibubarkan pada 22 Jan lalu bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Pada PRN Johor, PAS menggugurkan keahlian Najib daripada parti itu selepas memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas apabila namanya tidak disenaraikan sebagai calon dan kemudiannya dilaporkan menyertai UMNO pada Oktober 2022.

Sementara itu, Mohamad berkata penyerahan borang keahlian Amanah oleh bekas Exco Kerajaan negeri Johor pula akan diadakan di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, Perling, Johor Bahru, esok. 

Semalam Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan berkata penyertaan bekas Exco dan bekas ADUN daripada Bersatu dan PAS itu adalah satu isyarat yang jelas terhadap penerimaan kepada perjuangan Amanah yang membawa semangat RAHMAH seperti yang ditunjukkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan