BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 EKONOMI

Pernas Labur Rm5 Juta Bantu Bubbles O2 Tembusi Pasaran Luar

13/09/2023 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membantu jenama Bubbles O2 Sdn Bhd mengembangkan perniagaan mereka di dalam dan luar negara melalui suntikan pelaburan berjumlah RM5 juta.

Menurut Pernas dalam satu kenyataan, melalui pelaburan tersebut, Bubbles O2 menyasarkan produk air mineral semula jadinya yang mengandungi oksigen terlarut ke pasaran domestik dan eksport termasuk ke Brunei, Thailand, Indonesia, Dubai, Puerto Rico, Amerika Syarikat dan Kanada bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. 

“Pelaburan ini turut merangkumi perluasan kawasan kilang serta perbelanjaan operasi dan modal kerja.

“Bubbles O2 kini mengeluarkan pembungkusan baharu yang menggunakan botol kaca premium selain mempunyai perancangan untuk menghasilkan air mineral berperisa dengan vitamin,” katanya.

Pada tahun lepas, Bubbles O2 telah mencatatkan jualan sebanyak RM3.7 juta menerusi penjualan air mineral tersebut di seluruh Malaysia. 

Setakat Jun 2023, Bubbles O2 telah mencapai sasaran jualan sebanyak RM6.7 juta. 

“Melalui bantuan pelaburan yang ditawarkan Pernas, jualan Bubbles O2 dijangka meningkat 50 peratus bagi tahun 2024/2025,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin berkata sejak skim pelaburan Pernas diperkenalkan pada 1998, Pernas telah melabur dalam 85 syarikat dengan jumlah pelaburan sebanyak RM934 juta. 

Beliau berkata Pernas turut menyasarkan peruntukan RM300 juta untuk tempoh lima tahun (2024-2028) iaitu RM60 juta setahun bagi pelaburan ekuiti.

“Jenis pelaburan tidak terhad kepada syarikat francais, malah Pernas mengenal pasti syarikat berpotensi untuk dikembangkan melalui pelaburan seperti Bubbles O2.

“Melalui aktiviti pelaburan strategik, Pernas dapat membantu syarikat-syarikat ini agar mampu berdaya saing ke peringkat lebih membanggakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan