AM

Speaker Dun Sarawak Akan Maklumkan Spr Kekosongan Kerusi N67 Jepak

15/09/2023 10:37 PM

KUCHING, 15 Sept (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar akan memaklumkan kekosongan di kerusi N67 Jepak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip hari ini.

Timbalan Speaker DUN Sarawak Datuk Idris Buang berkata sebagaimana yang diperuntuk dalam Perlembagaan Negeri Sarawak, adalah menjadi tanggungjawab Mohamad Asfia mengemukakan notis kepada SPR tentang kekosongan itu.

“Speaker selepas ini akan memberitahu pihak SPR agar pihak SPR mengeluarkan perintah dan writ untuk pilihan raya kecil (PRK)) kerana kita ada lebih kurang tiga tahun lagi hayat DUN,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Pusat Perubatan Normah di sini malam ini.

Beliau berkata Perlembagaan Negeri Sarawak mengkehendaki PRK diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh notis kekosongan dimaklumkan kepada SPR.

Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 5.50 petang tadi ekoran komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan itu semalam.

Allahyarham adalah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan