SUKAN

Acl : Peluang Jdt Tebus Kekecewaan Musim Lalu

18/09/2023 05:58 PM

ISKANDAR PUTERI, 18 Sept (Bernama) -- Kekecewaan dibelasah 0-5 oleh Kawasaki Frontale musim lalu tidak melunturkan azam Johor Darul  Ta’zim (JDT) mengumpul tiga mata sulung pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila menentang kelab Jepun itu pada aksi pertama Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.

Pengendali JDT, Esteban Solari berkata kemampuan pasukannya akan diuji dan percaya anak buahnya dapat memperagakan aksi terbaik bagi menebus kekalahan itu terhadap pasukan pilihan dalam kumpulan itu.

“Kami menjangkakan permainan berbeza berbanding tahun lalu, Kawasaki Frontale dilihat jauh lebih kuat kali ini dengan kualiti mereka dan pemainnya pantas.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi jika kami berjaya menjaringkan gol pada separuh masa pertama, kami boleh mengawal mereka dan menang,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Solari berkata pemainnya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menentang juara Liga Jepun itu, sambil menambah Diogo Luis Santo dan Fernando Forestieri yang sebelum ini mengalami kecederaan, akan turut beraksi dalam ACL.

Beraksi di hadapan penyokong tuan rumah juga akan memberi kelebihan kepada mereka, namun beliau mengakui JDT tidak boleh memandang mudah Kawasaki Frontale yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Selain Kawasaki Frontale, skuad JDT turut diundi bersama Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan BG Pathum United kelab dari Thailand.

Sementara itu, ketua jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Iniki, berkata, pasukannya telah mencuba beberapa strategi semasa latihan dalam usaha menyukarkan gerakan JDT.

Beliau menyifatkan pemain JDT, Bergson da Silva dan Juan Muniz perlu diberi perhatian oleh bentang pertahanan pasukannya.

“Kami mempunyai lapan pemain muda baharu yang akan beraksi untuk musim ini...kami perlu cuba memperbaiki skuad kami untuk mencabar lawan.

“Tetapi daripada pengalaman kami bersama JDT, kami mesti menjaringkan gol terlebih dahulu untuk memastikan dalam perlawanan kedua kami dsapat mengawal seluruh pasukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan