SUKAN

Malaysia Tewas Kepada India Selepas Perlawanan Dihentikan Kerana Hujan Lebat

21/09/2023 06:01 PM

Daripada Vikneswaran Raman

HANGZHOU, 21 Sept (Bernama) -- Aksi suku akhir acara T20 antarabangsa wanita Sukan Asia antara Malaysia dan India hari ini terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat, membolehkan India mara ke separuh akhir berdasarkan ranking.

Perlawanan yang berlangsung di gelanggang Zhejiang University of Technology Pingfeng hanya berlangsung kurang daripada 30 minit sebelum ditangguhkan sementara kerana hujan lebat selepas skuad negara yang menduduki ranking ke-27 dunia memenangi lambungan syiling dan memilih untuk memadang.

India yang merupakan pasukan keempat terbaik dunia, telah melakukan 60 larian daripada 5.4 Over pada babak pertama apabila perlawanan dihentikan.

Setelah perlawanan bersambung semula selepas hampir dua jam dihentikan, perlawanan dikurangkan kepada 15 Over dan India melebarkan kedudukan kepada 173 larian, dengan kehilangan dua wiket.

Ketika Malaysia kembali mengejar dengan Ainna Hamizah Hashim bersedia melakukan larian pertama, hujan lebat kembali melanda memaksa pegawai perlawanan menghentikan perlawanan.

Pengurus pasukan V. Vijayalingam berkata India mendapat tempat ke separuh akhir berdasarkan ranking tertinggi. Pada masa sama, skuad wanita Malaysia terlepas peluang berharga menentang lawan yang hebat apabila hujan menjejaskan permainan.

"Menang ke atas India mungkin mustahil, tapi kami kecewa kerana tidak berpeluang mengumpul pengalaman menentang pasukan di ranking lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, kapten pasukan negara D Winifred Anne berkata pemain berharap dapat bermain perlawanan penuh dan menikmati peluang yang jarang diperoleh untuk berdepan pasukan terbaik.

"Jika kita dapat beraksi sepenuhnya, kita dapat menguji keupayaan pukulan dan balingan, tapi kita hanya dapat melihat balingan ketika menentang pasukan hebat seperti India. Kita berharap dapat bermain sekurang-kurangnya 5 Over untuk melihat prestasi pasukan ketika menentang pasukan seperti India.

“Bagaimanapun, kita dapat mengutip pengalaman memadang, dan banyak lagi kita perlu perbaiki apabila berdepan pasukan hebat seperti ini. Kita akan bekerja lebih keras, bangkit dan bermain lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Malaysia mara ke suku akhir selepas mengejutkan Hong Kong dengan 22 larian dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada Selasa, manakala India mendapat bye.

India akan berdepan sama ada Bangladesh atau Hong Kong di separuh akhir pada Ahad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan