MELAKA, 26 Sept (Bernama) -- Bertugas di zaman darurat ketika komunis masih berleluasa antara pengalaman yang sukar dilupakan Sarjan Sazali Shaari, 59, ketika memulakan tugas sebagai konstabel polis selepas tamat latihan pada 1988.
Anak kelahiran Machang, Kelantan itu berkata beliau ditugaskan ke Jerantut, Pahang sejurus tamat latihan bagi penugasan darurat berikutan ancaman komunis yang masih berleluasa dalam negara ketika itu.
Beliau berkata sekitar 1990, kem Unit Kawalan Kawasan (UKK) di Benta diserang segerombolan komunis pada sebelah malam dan keesokannya, kumpulannya ditugaskan untuk membuat penjejakan di sekitar Ulu Cheka.
"Walaupun kami gagal mengesan gerombolan komunis tersebut namun ia merupakan pengalaman berharga buat saya yang baharu tamat latihan ketika itu.
"Saya kemudiannya ditukarkan ke Unit Bekalan bagi menghantar rangsum makanan kepada anggota tentera dan Pasukan Polis Hutan (PPH) (kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Ulu Tembeling menggunakan bot," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Polis Diraja Malaysia Kontinjen Melaka yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Balai Istiadat, Seri Negeri di sini hari ini.
Sazali merupakan antara 184 penerima PJPN membabitkan 19 pegawai polis yang masih berkhidmat dan 165 pesara polis yang pernah bertugas dan menetap di Melaka.
Bapa kepada lima anak yang akan bersara pada Jun tahun depan berkata rakyat perlu mengenang jasa perjuangan orang terdahulu yang bersusah-payah berkorban untuk meninggalkan tanah warisan ini kepada anak bangsa.
Seorang lagi penerima PJPN, Sarjan Mejar Nadzri Md Noor, 55, berkata pengalaman dikejar dengan parang seorang pesakit mental, antara peristiwa tidak dapat dilupakan sepanjang 35 tahun berkhidmat dengan pasukan keselamatan itu.
Nadzri berkata ketika itu beliau bertugas di Ibu Pejabat Polis Daeah (IPD) Segamat, Johor kira-kira 30 tahun dahulu di dalam Unit Pencegahan Jenayah.
"Saya boleh sahaja ambil tindakan keras terhadap individu terbabit namun dalam masa yang sama, sebagai anggota polis, kita perlu bijak mengawal situasi bagi meminimumkan kecederaan terhadap suspek.
"Saya tak boleh terburu-buru menggunakan senjata api dan perlu ikut prosedur operasi standard (SOP). Bagaimanapun kes berkenaan dapat ditangani dengan baik dan suspek berjaya ditangkap," kata Ketua Balai Polis Bemban itu yang berpengalaman bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial