AM

Belanjawan 2024: Ekosistem Syarikat Permulaan, Teknologi Baharu, Stem Dalam Cadangan Mosti

26/09/2023 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merancang untuk mempertingkatkan ekosistem syarikat permulaan, teknologi baharu muncul dan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam pembentangan Belanjawan 2024.

Menterinya Chang Lih Kang berkata ia adalah antara bidang yang telah dicadangkan untuk dimasukkan dalam pembentangan itu, bagaimanapun beliau tidak mendedahkan sebarang perincian memandangkan perkara itu masa di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan untuk dimuktamadkan.

"Secara asasnya terdapat beberapa bidang yang kita nak perkukuhkan yang pertama adalah start-up (syarikat permulaan), kami harap kami boleh peroleh lebih banyak dana untuk syarikat permulaan, dana untuk mempertingkatkan ekosistem tersebut, itu satu bidang..

"… dan bidang lain seperti teknologi baharu muncul yang kita harap boleh membantu negara kita dalam membangunkan teknologi yang moden dan terkini, canggih dan satu lagi bidang fokus utama ialah pendidikan STEM di mana kita nak membudayakan pendidikan STEM," katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Teknologi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) di sini, hari ini.

Chang juga berharap belanjawan itu akan memasukkan peruntukan dalam memastikan sasaran 1.5 juta kenderaan elektrik (EV) di negara ini menjelang 2040 mampu dilaksanakan.

"Pada masa ini ia masih sangat rendah, saya tiada angka, tetapi menjelang akhir tahun ini kami akan dapatkan angka itu, namun ia masih rendah. Sasaran kami menjelang 2025 kita akan ada 10,000 stesen pengecasan, oleh itu, daripada bilangan stesen anda boleh tahu tahap penerimaan masih sangat rendah," katanya.

Belanjawan 2024 yang merupakan belanjawan kedua bakal diumumkan oleh Kerajaan Perpaduan, dijangka dibentangkan di Parlimen pada 13 Okt ini.

Sementara itu mengenai pelepasan air radioaktif yang dirawat daripada loji kuasa nuklear Fukushima Daaiichi ke Lautan Pasifik oleh Jepun, beliau berkata kerajaan sedang memantau situasi itu dan setakat ini, tiada tahap radioaktif tidak normal dikesan di perairan negara.

Beliau berkata kementerian akan turut meneliti untuk mewujudkan suatu platform bagi orang awam memantau data tersebut secara terbuka, sekali gus membantu menangani kebimbangan awam berkaitan tindakan Jepun itu.

Katanya data Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) boleh didapati di laman web agensi itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan