AM

Kazakhstan Buka Pejabat Konsulat Di Pulau Pinang

02/10/2023 04:12 PM

GEORGE TOWN, 2 Okt (Bernama) -- Kazakhstan membuka secara rasmi konsulatnya di sini yang julung kali ditubuhkan di negeri ini, menandakan peristiwa penting dalam hubungan Pulau Pinang dan Kazakhstan.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group (PG Group) Datuk Louis Ng Chun Hau, kumpulan syarikat terkemuka yang mengkhusus dalam perdagangan logam berharga dan penempaan di Malaysia telah dilantik secara rasmi sebagai Konsul Kehormat Republik Kazakhstan di Pulau Pinang.

Ng yang mempunyai kelayakan luar biasa dalam perniagaan, bertekad untuk mengukuhkan ikatan yang telah terjalin antara Kazakhstan dan Malaysia terutama Pulau Pinang dan berhasrat untuk membawa perubahan positif serta memainkan peranan penting dalam memperbaiki keadaan sosioekonomi global untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan dan asing melalui rangkaian perniagaannya yang luas.

“Saya amat berbesar hati dengan pelantikan sebagai pembawa bendera Kazakhstan di Pulau Pinang dan berjanji untuk memenuhi seruan itu dengan komitmen yang sama seperti yang saya impikan untuk Pulau Pinang dan Malaysia.

“Tanggungjawab utama saya termasuk menyalurkan bantuan kepada rakan-rakan Kazakhstan yang menetap dan berkunjung ke Pulau Pinang. Perdagangan logam berharga dan E-Dagang merupakan keutamaan saya dan saya berminat untuk meneroka peluang perniagaan dan pelaburan baharu dalam sektor ini dengan rakan-rakan Kazakhstan di Pulau Pinang serta di negara asal mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pejabat Konsulat Kehormat Republik Kazakhstan di Wisma Public Gold di sini dirasmikan Setiausaha Bahagian, Kementerian Luar Datuk Syed Bakri Syed Abd Rahman bersama Duta Besar Republik Kazakhstan Bulat Sugarbayev.

Ng berkata selain perdagangan dan ekonomi, satu lagi bidang yang berpotensi untuk kerjasama ialah teknologi dan inovasi termasuk pemindahan teknologi, inisiatif inovasi serta penyelidikan dan pembangunan.

“Pulau Pinang mempunyai sektor elektrik dan elektronik yang mantap dan rantau kami merupakan antara peneraju global dalam industri ini. Pengetahuan dalam teknologi dan inovasi boleh dikongsi bersama dan dipertingkatkan lagi antara negara kita,” katanya.

Beliau berkata daya tahan ekonomi adalah antara objektif utamanya dalam peranan itu, justeru beliau akan memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi dan kepelbagaian perdagangan antara dua rantau untuk menangani ketidaktentuan global.

“Satu lagi objektif penting peranan saya adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Kazakhstan di Malaysia dengan menyediakan bantuan konsular apabila diperlukan,” katanya.

Sementara itu Bulat berkata beliau gembira dan teruja dengan pembukaan Pejabat Konsulat Kehormat Kazakhstan di Pulau Pinang dan berharap dapat bekerjasama dengan negeri itu di bawah kepimpinan Ng.

"Sektor tenaga, teknologi, pertanian dan infrastruktur Kazakhstan menawarkan peluang pelaburan besar kepada pelabur Malaysia,” katanya.

Hubungan diplomatik antara Republik Kazakhstan dan Malaysia terjalin pada 1992 dan sejak itu kedua-dua negara mengekalkan hubungan erat berdasarkan kepercayaan dan saling menghormati.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan