AM

Mda Rampas Peranti Perubatan Tidak Berdaftar Bernilai Lebih Rm500,000

05/10/2023 04:07 PM

CYBERJAYA, 5 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah merampas pelbagai produk peranti perubatan tidak berdaftar bernilai lebih RM500,000 menerusi lima operasi di sekitar Lembah Klang, Johor dan Kedah, tahun ini.

Ketua Eksekutif MDA P Muralitharan berkata empat peranti perubatan yang paling banyak dirampas dalam serbuan berkenaan ialah sarung tangan pakai buang, alat pemerhati tekanan darah, kondom dan kanta sentuh.

Selain itu, sebanyak 16 syarikat telah digantung lesen, dua lesen syarikat lagi dibatalkan manakala sembilan lesen syarikat telah dikembalikan selepas didapati mematuhi undang-undang ditetapkan.

Muralitharan berkata dalam operasi pada 13 Sept lepas, sebuah syarikat yang berlesen dengan MDA  dan beroperasi di Sentul, Kuala Lumpur didapati melakukan kesalahan berulang mengedar peranti perubatan tidak berdaftar.

“Pada Julai lepas, syarikat itu telah mengedar peranti perubatan tidak berdaftar dalam pasaran Malaysia, dan lesennya telah digantung serta diberi arahan untuk menghentikan pengedaran peranti perubatan serta-merta. Namun hasil risikan mendapati syarikat itu gagal mematuhi arahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Turut dirampas di premis berkenaan ialah tujuh kotak sarung tangan pakai buang, 33 kotak picagari tanpa jarum, 90 kotak lanset darah (blood lancet), 146 kotak spatula penekan lidah (wooden tongue depressor), 1,098 pembalut luka (spandex crepe bandage), jarum pakai buang dan sembilan set dokuman jualan bernilai kira-kira RM10,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 25 (1)  Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) kerana meletakkan peranti perubatan di dalam pasaran semasa lesen masih dalam tempoh penggantungan, dan boleh dikenakan denda tidak melebih RM200,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MDA merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertanggungjawab menguruskan pendaftaran, permohonan lesen penjualan dan melakukan penilaian produk peranti perubatan sebelum ia dijamin selamat untuk digunakan di fasiliti kesihatan atau untuk dijual kepada pengguna.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan