EKONOMI

Midf Research Jangka Perdagangan Runcit Naik 11.8 Peratus Tahun Ini

12/10/2023 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- MIDF Research mengunjurkan perdagangan runcit meningkat sebanyak 11.8 peratus pada 2023 berikutan peningkatan jualan perdagangan pengedaran Malaysia dengan kadar dua angka sebanyak 8.5 peratus tahun ke tahun untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Permintaan pengguna kekal kukuh dan berdaya tahan seperti yang dapat dilihat daripada prestasi jualan perdagangan pengedaran.

“Daya tahan permintaan pengguna di Malaysia sejajar dengan pembangunan pasaran pekerjaan yang baik dan tekanan inflasi yang rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Katanya momentum permintaan domestik yang menggalakkan dijangka berterusan untuk baki separuh kedua 2023, disokong oleh pasaran buruh yang berdaya tahan, tekanan inflasi yang rendah, aktiviti pelancongan yang meningkat serta dasar ekonomi yang menyokong dan akomodatif.

MIDF menjangka pergerakan penumpang di lapangan terbang akan terus meningkat pada separuh kedua 2023, disokong oleh pembukaan semula sempadan oleh China dan Jepun.

“Pemulihan kepada paras pada 2019 masih jauh walaupun sempadan antarabangsa Malaysia telah dibuka semula sejak tahun lepas.

“Pandangan kami ialah paling awal untuk trafik penumpang mencapai paras pada 2019 hanya pada 2024,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan