KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Setelah mengejutkan India 4-2 pada perlawanan pembukaan saingan Pestabola Merdeka 2023 semalam, ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon melaungkan amaran awal apabila berdepan Tajikistan pada Selasa depan.
Ia merupakan peluang terbaik skuad negara untuk ‘melunaskan dendam’ kekalahan kepada pasukan di ranking ke-110 dunia itu pada aksi final Piala Raja Thailand tahun lepas.
“Kita masih ingat saat itu (final Raja Thailand), kedua-dua pasukan tidak dapat bermain dengan baik kerana hujan lebat sebelum kita tewas dalam penentuan sepakan penalti.
“Kita mempunyai peluang terbaik untuk ‘balas dendam’ pada perlawanan seterusnya, apatah lagi kita bermain di hadapan penyokong sendiri tapi kita tetap menghormati mereka (Tajikistan) kerana ranking mereka lebih tinggi daripada kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Harapan Malaysia untuk menamatkan penantian 44 tahun merangkul kejuaraan Piala Raja Thailand lebur apabila tewas 3-0 kepada Tajikistan dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Chiang Mai, tahun lepas.
Aksi final edisi ke-48 itu berlarutan sehingga penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan selepas tamat masa perlawanan.
Berdasarkan ranking terkini, Malaysia kini berada di ranking ke-113.
Tajikistan melangkah ke perlawanan akhir selepas mendapat ‘bye’ apabila Palestin menarik diri daripada saingan Pestabola Merdeka 2023 berikutan situasi tegang di negara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial