EKONOMI

Jtppp, Perak Bincang Cadangan Pembangunan Kerian Integrated Industrial Park

17/10/2023 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) dan Kerajaan Negeri Perak telah berbincang mengenai cadangan pembangunan Kerian Integrated Industrial Park (KIIP) dalam mesyuarat pertamanya semalam.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata mesyuarat tersebut membincangkan kerja-kerja pelaksanaan bagi inisiatif yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 iaitu Projek Pembangunan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV).

“JTPPP juga membincangkan status terkini pelaburan asing dan domestik yang masih dalam proses pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata JTPPP bertanggungjawab melaporkan status pelaksanaan projek pelaburan dan perdagangan tersebut kepada Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MITI komited untuk memastikan pelaksanaan projek-projek pelaburan dan perdagangan direalisasikan secepat mungkin.

Sehubungan itu, antara fungsi-fungsi utama JTPPP termasuk membentangkan status terkini projek-projek pelaburan dan perdagangan yang telah diumumkan untuk pemantauan.

Selain itu ia turut menyelesaikan isu serta cabaran yang dihadapi pelabur dan pengeksport dalam mempercepatkan pelaksanaan komitmen pelaburan langsung asing dan domestik, termasuk perdagangan antarabangsa.

JTPPP juga akan mengesyorkan cadangan mengenai langkah serta strategi bersesuaian dalam memudah cara perniagaan, mengurangkan karenah birokrasi serta melancarkan urusan pelabur bagi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi secara pantas dan tuntas.

Jawatankuasa itu juga menyelaras dan memperkukuhkan kerjasama dengan semua kementerian, agensi persekutuan dan negeri dalam menyelaras perkara-perkara berkaitan pelaburan dan perdagangan dalam negara.

“Ia bagi memastikan ke semua projek pelaburan dan perdagangan strategik serta ikonik selari dan bertepatan dengan dasar-dasar semasa yang berkaitan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan