AM

Penduduk Kuala Tahan Bakal Nikmati Perkhidmatan Kesihatan Lebih Baik

23/10/2023 09:14 AM

KUANTAN, 23 Okt (Bernama) -- Lebih 16,000 penduduk termasuk Orang Asli di Kuala Tahan, Jerantut bakal menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan selesa apabila sebuah klinik kesihatan baharu dibina di kawasan berkenaan kelak.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata klinik kesihatan jenis lima yang dilengkapi perkhidmatan X-ray itu akan bangunkan di kawasan seluas 2.38 hektar berhampiran Sungai Tembeling.

“Sebelum ini kami (Jabatan Kesihatan Negeri Pahang) telah membuat permohonan untuk (diwujudkan) klinik baharu di kawasan itu (Kuala Tahan) dan bersyukur apabila diluluskan dalam Belanjawan 2024,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata klinik kesihatan itu akan menggantikan klinik kesihatan sedia ada di kawasan berkenaan yang kini berusia 43 tahun dan berada dalam keadaan daif serta uzur.

Menurut Dr Nor Azimi sudah tiba masanya klinik berkenaan diganti bagi memastikan penduduk menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih baik selain petugas dapat bekerja dalam keadaan lebih selesa.

Klinik kesihatan baharu di Kuala Tahan itu antara lima klinik kesihatan yang akan dibina, yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Okt lepas.

Empat klinik kesihatan lain yang akan dibina antaranya ialah di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Jengal di Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud di Sabah yang kesemuanya melibatkan kos RM150 juta.

Sementara itu, anak jati Kuala Tahan, Siti Nur Suhada Suhami, 24, berkata usaha kerajaan untuk membina pusat kesihatan baharu amat dihargai dan tepat pada masanya memandangkan klinik sedia ada mempunyai ruang agak sempit untuk menampung bilangan pesakit.

"Bilangan pesakit semakin ramai dan lokasi klinik lama berhampiran sekolah juga tidak lagi sesuai... semoga klinik baharu nanti dapat memudahkan urusan kami di kawasan ini menerima rawatan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan