AM

Pembukaan Lebuhraya Spe : Tol Percuma Selama Sebulan

03/11/2023 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Pemandu kenderaan yang melalui tiga plaza tol utama Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) tidak perlu membayar tol masing-masing selama sebulan mulai hari ini, bersempena pembukaan penuh lebuh raya itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemberian tol percuma sehingga 11.59 malam pada 2 Dis itu, akan melibatkan Plaza Tol Chan Sow Lin, Plaza Tol Ampang dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menuju ke SPE dan Plaza Tol Setiawangsa (arah selatan dan utara).

“Selepas tempoh itu, pengguna akan membayar kadar tol RM3.50 bagi kenderaan kelas satu (kereta),” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan Lebuhraya SPE, di sini hari ini.

Nanta berkata SPE yang menghubungkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur, merupakan projek membabitkan empat seksyen iaitu Kerinchi-Salak (Seksyen 1), Salak-Pandan (Seksyen 2), Pandan-Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa-Taman Melati (Seksyen 4), melibatkan jarak keseluruhan 20.7 kilometer (km).

Bagaimanapun, sebahagian daripada jajaran lebuh raya berkenaan iaitu Seksyen 4 dengan jarak 4.4km, telah pun dibuka kepada pengguna pada 21 Dis 2021.

“Pembukaan sepenuhnya Lebuhraya SPE ini yang merupakan jalan pintas kepada beberapa lokasi, pastinya akan membawa impak signifikan terhadap usaha kerajaan untuk membantu menyuraikan trafik Kuala Lumpur pada waktu puncak sehingga 30 peratus, selain memperkasa usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur untuk keselesaan rakyat setempat.

“Sebagai contoh, tempoh perjalanan pada waktu puncak dari Kerinchi, Petaling Jaya ke Taman Melati, Gombak dan sebaliknya, dijangka hanya mengambil masa 35 minit berbanding satu jam 30 minit dengan laluan sedia ada, sekali gus memanfaatkan kira-kira 100,000 pengguna,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan