KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- BMW Malaysia hari ini melancarkan kereta sedan elektrik berprestasi tingginya, i5 eDrive40, yang mampu bertahan dengan jarak sehingga 582 kilometer antara tempoh pengecasan.
Kereta elektrik tersebut dilancarkan di pameran Premium Auto Care Expo (PACE) 2023 di Setia City Convention Centre di Shah Alam hari ini.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Hans de Visser dalam satu kenyataan hari ini berkata pengenalan kereta itu adalah bukti pencapaian kumpulan tersebut sebagai menjadi penyedia kenderaan elektrik (EV) premium nombor satu di negara ini, dengan penyerahan lebih 1,600 unit kenderaan elektrik BMW, MINI, dan BMW Motorrad tahun ini.
“Dengan menjalin perkongsian bermakna bersama peneraju industri yang berpengaruh, BMW Malaysia kekal komited terhadap misinya untuk membentuk masa depan mobiliti di Malaysia.
"Model baharu itu, yang merupakan tambahan kepada portfolio BMW 5 Series, dipercayai dapat menetapkan standard baharu dalam mobiliti elektrik negara," katanya.
Model i5 eDrive40 menyediakan output maksimum 250 kilowatt (kW)/340 kuasa kuda, 430 newton-meter (Nm) dalam Sport Boost, memacu dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 6.0 saat dan mencapai kelajuan tertinggi pada 193km/j.
Kenderaan itu mempunyai kapasiti bateri 83.9kWj dan menawarkan pilihan pengecasan DC berkuasa tinggi yang boleh mencapai sehingga 205kW dan 500A untuk membolehkan pengecasan pantas sebanyak 80 peratus kapasiti dalam masa 34 minit sahaja.
Keberkesanan elektrik boleh diperkuatkan lagi dengan fungsi Julat Maks yang inovatif, yang meningkatkan kecekapan sebanyak 25 peratus melalui penyahaktifan fungsi keselesaan dan pelarasan kepada had kuasa dan kelajuan.
Kumpulan itu berkata penjagaan proaktif model baharu itu menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pencetus amaran yang akan membawa pemandu ke pengedar BMW terdekat apabila kereta itu memerlukan servis segera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial