AM

Genggam Watikah Gelaran Seniman Diraja, Datuk Lat Akan Terus Promosi Kepelbagaian Budaya Malaysia

05/11/2023 06:56 PM

KUALA KANGSAR, 5 Nov (Bernama) -- Seniman Diraja Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat akan terus membantu mempromosikan kebudayaan masyarakat pelbagai kaum negara ini terutama di negeri kelahirannya, Perak melalui karya yang dipamerkan di Galeri Rumah Lat, Batu Gajah.

Lat yang ditemui selepas dikurniakan Watikah Gelaran Seniman Diraja di Istana Iskandariah di sini hari ini berkata beliau berbangga dapat meneruskan idea membuka galeri berkenaan demi mempamerkan karyanya yang memaparkan kemajmukan masyarakat Malaysia.

“Perak salah satu tempat yang kita boleh cuba jadikan tarikan pengunjung. Jadi saya mempamerkan  lukisan komik saya (di Galeri Rumah Lat) saya syukur kerana sambutan sangat baik. Jadi memang itu saya bangga dapat berbakti untuk Perak sebab saya berasal dari sini, juga sebenarnya berbakti untuk negara,” katanya.

Terdahulu Sultan Perak Sultan Nazrin berkenan mengurniakan Watikah Gelaran Seniman Diraja pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67 hari ini.

Pada 8 Julai lepas, ketika berangkat merasmikan Galeri Rumah Lat, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Lat gelaran Seniman Diraja bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan besar oleh seniman agung itu dalam memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.

Sementara itu Lat berkata kurniaan gelaran Seniman Diraja itu adalah simbol rapatnya hubungan istana dengan kegiatan kesenian rakyat negara ini sekali gus menghargai insan seni sepertinya.

“Bukan hanya melalui komik, semua cabang seni seperti muzik, filem dan lakonan pentas juga banyak yang memaparkan kepelbagaian budaya, jadi semua ini juga mendapat penghargaan istana, kita amat hargai,” katanya.

Dalam pada itu Lat mengajak pengunjung yang ke Galeri Rumah Lat agar berkunjung ke galeri berkenaan dan setakat ini masuk ke sana masih percuma.

Katanya kemasukan ke galeri tersebut masih belum dikenakan bayaran kemungkinan sehingga hujung tahun ini.

“Saya ingat sampai hujung tahun masih percuma, jika dikenakan pun saya percaya ia (tiket) tidaklah mahal,” katanya.

Galeri Rumah Lat di Silverlake Batu Gajah dibuka secara rasmi pada 8 Julai lepas kepada pengunjung secara percuma setakat ini.

-- BERNAMA   

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan