AM

Ketua Menteri P.pinang Buat Kunjungan Hormat Ke Atas Naib Presiden China

10/11/2023 10:28 PM

GEORGE TOWN, 10 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden China Han Zheng yang sedang dalam rangka lawatan kerja empat hari ke Malaysia bermula Rabu.

Sesi kunjungan hormat yang bermula sekitar pukul 6.30 petang itu berlangsung selama kira-kira 30 minit di Shangri-la Rasa Sayang, dan turut hadir bersama Chow adalah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Chow berkata lawatan itu menggariskan hubungan rapat antara Malaysia dan China yang akan meraikan ulang tahun yang ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun depan, dan sejak kebelakangan ini memang ramai pemimpin China turut memasukkan Pulau Pinang dalam lawatan rasmi mereka ke Malaysia, selain Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berharap hubungan strategik antara kedua-dua negara ini akan terus membawa impak yang positif dari segi perlaburan.

"Kita juga ada berbincang isu pendidikan, khususnya bagaimana hendak mencungkil bakat-bakat baharu bagi menyokong pembangunan dan sebagainya. Kita berharap ia boleh membawa kebaikan dari segi perlaburan.

"Saya percaya lawatan ini, termasuk ke Putrajaya dan Kuala Lumpur, hadir pada masa yang sesuai dengan perubahan perdagangan dan perlaburan di rantau ini, menjelang ulang tahun yang ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang akan disambut pada 2024," katanya kepada wartawan selepas sesi kunjungan hormat itu di sini malam ini.

Han Zheng bersama 14 anggota delegasinya itu dijadualkan berlepas pulang tengah hari esok melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, sekali gus mengakhiri lawatan rasmi empat hari beliau ke Malaysia.

Sejak lebih sedekad yang lampau, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Pada 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan China mencecah nilai RM487.13 bilion (US$110.62 bilion), peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 2021.

Selain itu, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia untuk 2022, dengan pelaburan berjumlah RM55.4 bilion (US$12.5 bilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan