EKONOMI

Pemimpin Apec Di San Francisco Eratkan Hubungan, Hadapi Cabaran Global

12/11/2023 10:18 AM

Daripada M. Saraswathi

SAN FRANCISCO, 12 Nov (Bernama) -- Sidang Minggu Pemimpin Ekonomi APEC 2023, yang telah bermula di sini akan menyaksikan pemimpin, menteri-menteri dan para pegawai meneruskan kewajipan APEC merentasi pelbagai bidang dasar pada tahun ini termasuk pemudahcaraan perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, tenaga bersih dan iklim, kesihatan, keadilan dan kesaksamaan gender serta antirasuah dan keterjaminan makanan.

Sidang itu dihoskan oleh Amerika Syarikat (AS) dan dipengerusikan oleh Presiden Joe Biden di bawah tema “Mewujudkan Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua”, berpandukan kepada tiga keutamaan pada tahun ini iaitu saling berkaitan, inovatif dan inklusif.

Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) merupakan forum ekonomi serantau dengan 21 ekonomi anggota.

Pegawai-pegawai kanan memulakan perbincangan selama seminggu di bawah tiga tonggak iaitu Pasifik Digital untuk meluaskan akses kepada jaringan digital, Kemampanan untuk menggalakkan peralihan tenaga yang mampan dan inklusif serta Pertumbuhan Berdaya Tahan dan Inklusif untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

“Penganjuran APEC pada tahun ini memberi peluang kepada AS untuk membentuk dasar perdagangan dan memacu pertumbuhan ekonomi di rantau Asia Pasifik yang pesat, yang mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global,” kata Pegawai Kanan AS untuk APEC, Duta Besar Matt Murray dalam satu kenyataan.

Beliau berkata perbincangan mengenai perdagangan dan pelaburan ini menekankan peranan strategik APEC dalam kerjasama ekonomi anggota berikutan forum ini kekal sebagai platform utama untuk memacu dasar ekonomi dan perdagangan, menggalakkan idea yang inovatif dan menyokong perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya dengan mengambil bahagian secara aktif dalam rantaian nilai serantau dan global, PKS mengatasi halangan perdagangan, memperluas kedudukan mereka, memacu inovasi dan mengakses pasaran baharu.

Mesyuarat selama seminggu ini akan berakhir dengan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 16 hingga 17 Nov, apabila pemimpin Asia Pasifik akan mewujudkan agenda strategik dan matlamat serantau untuk tahun depan dibimbing oleh Biden.

Sebelum ketibaan pemimpin APEC, akan diadakan Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan APEC pada 13 Nov, yang akan memberi tumpuan kepada dasar yang meningkatkan pengeluaran ekonomi jangka panjang, pada masa yang sama membincangkan kemajuan dalam matlamat sosial seperti mengurangkan ketidaksamaan dan kerosakan alam sekitar.

Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC juga akan diadakan dari 14-16 Nov, menarik pemimpin perniagaan dan usahawan dari seluruh rantau untuk membincangkan cara membina masa depan yang didorong oleh kemampanan, keterangkuman, daya tahan dan inovasi.

“Secara terasnya, APEC adalah mengenai bagaimana 21 ekonomi anggota yang amat berbeza dari segi pembangunan ekonomi dan struktur politik boleh duduk bersama, menghadapi cabaran ekonomi yang paling mendesak, membincangkan isu-isu sukar dan mencari titik persamaan — semuanya untuk meneruskan inisiatif ke arah dunia yang lebih baik,” kata Tan Sri Dr Rebecca Sta Maria, Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC.

“Langkah yang sangat perlu dalam mesyuarat minggu ini untuk kita menyatukan ekonomi anggota, bukan memberi tumpuan kepada perbezaan dan apa yang memecahbelahkan kita, tetapi memberi tumpuan kepada apa yang telah kita lakukan dalam beberapa tahun ini antaranya untuk integrasi ekonomi serantau, untuk belia, untuk wanita dan untuk perniagaan kecil kita dan yang paling penting, untuk meningkatkan kehidupan rakyat kita,” kata Sta Maria.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 sejak kali pertama Pemimpin Ekonomi APEC bertemu di Blake Island, Washington, pada 20 Nov 1993 apabila Presiden Bill Clinton pada masa itu mengadakan kumpulan pertama untuk membina asas ekonomi baharu bagi Asia Pasifik yang memanfaatkan tenaga ekonomi anggota, mengukuhkan kerjasama dan menggalakkan kemakmuran.

AS dan Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC. Negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

Ini diikuti China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea pada 1993. Chile menyertainya pada tahun 1994 dan pada 1998, Peru, Rusia dan Vietnam menyertainya, menjadikan keanggotaan penuh kepada 21 ekonomi. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan