AM

Tindakan Segera Atasi Isu Penganiayaan Pembantu Rumah Indonesia - Duta

12/11/2023 02:02 PM

LABUAN, 12 Nov (Bernama) -- Isu penganiayaan pembantu rumah Indonesia di Malaysia memerlukan penyelesaian segera dan tuntas daripada majikan serta penguatkuasaan lebih ketat oleh pihak berkuasa, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono.

Beliau berkata kira-kira 90 peratus aduan diterima Kedutaan Indonesia berkaitan pekerja domestik menunjukkan trend membimbangkan antaranya tidak dibayar gaji bulanan termasuk ada pekerja tidak menerima bayaran selama 19 tahun.

“Laporan turut menunjukkan terdapat kes dera dan penganiayaan seperti tidak diberi makanan, justeru menekankan kepentingan untuk intervensi,” katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Agung Konsulat Indonesia di sebuah hotel, di sini hari ini.

Hermono berkata penganiayaan turut membabitkan pekerja tidak berdaftar yang mungkin berpunca daripada ketiadaan kontrak perkhidmatan.

Beliau berkata terdapat majikan yang tidak mendaftarkan pekerja mereka kerana cuba mengelak membayar levi dan bayaran wajib lain, justeru menambah kepada peningkatan pekerja domestik tanpa dokumen.

“Ia adalah kewajipan majikan untuk mendaftarkan pembantu domestik mereka dengan pihak berkuasa, bukannya pekerja, kami harap pihak berkuasa akan bertindak segera terhadap isu ini,” katanya.

Beliau berkata langkah dan hukuman tegas terhadap majikan yang melanggar undang-undang penting bagi memastikan kebajikan pekerja domestik khususnya 70,000 pekerja Indonesia yang berdaftar di Malaysia.

Mengenai impak pascapandemik COVID-19, Hermono berkata jumlah pekerja Indonesia berdaftar di Malaysia turun ketara daripada 1.2 juta ke 480,000 orang. 

“Pekerja tidak berdaftar, bagaimanapun, hampir dua kali ganda lebih tinggi dalam tempoh sama.. ,” kata Hermono yang menambah penurunan pekerja berdaftar susulan ramai yang telah mendapat pekerjaan di tanah air mereka.

Beliau berkata pekerja Indonesia di Malaysia kini lebih bertumpu kepada sektor perladangan terutama di Sabah dan Sarawak manakala dalam sektor pembinaan, terdapat penurunan pekerja Indonesia berikutan kepesatan industri itu di sana.

Hermono berkata penyelesaian isu itu penting bukan sahaja demi kebajikan pekerja Indonesia tetapi juga hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan