KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyalurkan segala bantuan termasuk menanggung kos rawatan dan perubatan seorang kanak-kanak yang terkena percikan arka di pencawang elektrik (PE) di Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang, semalam.
TNB, dalam satu kenyataan hari, memaklumkan pihaknya amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa dan akan memastikan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu mendapat rawatan yang terbaik.
Katanya, wakil pengurusan TNB telah pun menyantuni ibu bapa kanak-kanak tersebut di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
"Mangsa yang melecur anggota badan sedang dirawat di bilik isolasi, Unit Rawatan Rapi (ICU), di hospital berkenaan.
"Dalam lawatan itu, Head of Zone Asset, TNB Pulau Pinang, Ir. Anan Eyam turut menyampaikan bantuan pendahuluan segera kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka," menurut kenyataan itu.
Susulan kejadian itu, TNB bekerjasama dengan pihak polis dan Suruhanjaya Tenaga bagi membantu siasatan dan TNB sendiri telah menubuhkan pasukan siasatan dalaman selaras dasar operasi syarikat yang memberi keutamaan kepada keselamatan.
Semalam, media melaporkan mangsa melecur seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik dipercayai tersentuh perkakasan elektrik selepas memasuki bilik janakuasa elektrik tersebut untuk mengambil bola yang terpanting masuk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial