JENAYAH & MAHKAMAH

Video Tular Disunting - Agus

18/11/2023 01:06 AM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mendakwa video perbualannya dengan seorang kakitangan J-KOM yang tular sejak petang semalam telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau menafikan melakukan perbualan tidak bermoral itu seperti yang tersiar dalam video berdurasi tiga minit dan menjelaskan hanya berbual biasa serta bertanya khabar kepada Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, individu yang berada dalam video tersebut.

"Saya dengan pegawai sudah biasa buat panggilan video dengan orang bawahan untuk urusan kerja di mana-mana. Saya tak nampak di mana salahnya. Wahab (macam) anak kecil sahaja pun, anak sulung saya pun lebih tua daripada dia.

“Apa yang anda nak tahu, adakah ini kali pertama saya buat panggilan video? Saya buat dengan semua, pengarah, kaktangan dengan rakan-rakan, ..saya rasa itu normal, tak ada salahnya," katanya dalam satu sidang media khas di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi, dekat sini, malam ini.

Turut serta ketika sidang media berkenaan kakitangan J-KOM yang turut dikaitkan dalam video berkenaan Abdul Wahab yang baru sahaja dua mingggu berkhidmat sebagai Penolong Pegawai J-KOM pada 1 Nov lepas.

Mohammad Agus juga memaklumkan perbualan dengan Abdul Wahab hanyalah perbualan biasa dan santai.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan itu mungkin dilakukan oleh pihak yang kurang senang dengannya dan jawatan yang disandang dalam J-KOM.

“Kita sudah belajar  banyak pengalaman bagaimana seseorang itu boleh jatuh kerana tuduhan seksual dan sekarang ia berlaku kepada saya,” katanya yang telah membuat laporan di Balai Polis Kajang pagi tadi dan akan menghantar surat tuntutan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan video itu. 

Mengulas mengenai kerjaya masa depannya, Mohammad Agus memaklumkan buat masa ini, beliau menghentikan niatnya untuk berhijrah ke Indonesia (tawaran kerja) sementara memberi laluan kepada siasatan kes berkenaan.

"Saya mahu keadilan dan perkara ini disiasat. Saya telah memberi arahan kepada peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang diperlukan. Rakyat tidak akan lupa kejadian ini, ia telah menjadi sejarah dan telah mencemarkan reputasi saya,”katanya.

Pada masa sama, Abdul Wahab mengakui merekod perbualan itu atas arahan individu Mr H yang turut menawarkan jawatan tinggi dalam J-KOM sekiranya berjaya menjatuhkan Agus.

“Semasa pertemuan saya dengan Mr.H, saya telah diberitahu kononnya beliau telah mendapat info (maklumat) daripada pihak tertentu bahawa Mohammad Agus terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral,” katanya. 

Bagaimana, Abdul Wahab menegaskan bahawa kandungan audio di dalam video tersebut adalah palsu, direka, tidak benar dan akan membuat laporan polis tentang pekara ini dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan