AM

Pahang Perkasa Pelancongan Gastronomi, Bantu Tingkat Pendapatan Usahawan

19/11/2023 01:03 PM

KUANTAN, 19 Nov (Bernama) -- Promosi berkonsepkan pelancongan gastronomi atau aktiviti melibatkan makanan tempatan dan budaya makanan unik akan terus diperkasakan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Pahang, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man.

Beliau berkata setiap daerah di Pahang mempunyai 'signature dish’ atau hidangan pengenalan yang sesuai diketengahkan seperti masakan ikan patin di Temerloh, durian Musang King (Raub), Lemang To'ki (Bentong), puding raja (Pekan) dan makanan laut serta pelbagai kafe hipster sekitar Kuantan.  

"Pelancongan gastronomi juga dapat meningkatkan pendapatan usahawan yang terlibat termasuk golongan belia yang banyak melibatkan diri dalam perniagan kafe hipster seperti di Kuantan, yang pada masa kini mempunyai banyak kafe berkonsepkan sedemikian. 

"Kuantan telah merekodkan kehadiran 1.5 juta pelancong setakat September, dan ini menunjukkan kepelbagaian acara dan promosi mampu menarik kehadiran pelancong termasuklah pelancongan berasaskan makanan," katanya kepada pemberita di Festival Kopi Pahang 2023 di sini semalam.  

Dalam perkembangan lain, Leong berkata Pahang merekodkan kedatangan lebih 9 juta pelancong domestik dan antarabangsa setakat September lepas, dan beliau optimis sasaran 13 juta yang ditetapkan tahun ini boleh direalisasikan. 

Mengulas mengenai penganjuran Festival Kopi Pahang 2023, Leong berkata festival julung kali diadakan itu berpotensi dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri, mengambil kira 'kemampuannya' menarik peminat kopi dari pelbagai tempat berkumpul sepanjang festival berlangsung. 

"Walaupun saya bukan peminat kopi, saya melihat ramai peminat kopi termasuk kawan sendiri sanggup pergi jauh untuk aktiviti cafe hopping bagi menikmati kopi dan di Pahang, kita juga ada ramai anak muda yang kreatif dan berkeupayaan menghasilkan kopi yang enak," katanya. 

Festival anjuran Tourism Pahang yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas itu menghimpunkan lebih 30 vendor kopi antaranya dari Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur di bangunan yang dahulunya merupakan gudang simpanan beras. 

Gudang di Jalan Haji Junid di sini yang dinamakan sebagai 'Old Garage' kini dibangunkan semula dengan konsep vintaj dan menjadi lokasi berkumpul termasuk dalam penganjuran aktiviti kelab permotoran, kenderaan lama selain dijadikan lokasi bermain papan selaju.  

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan