AM

Perak Cadang Jadikan Ltsas Hab Penerbangan Serantau

22/11/2023 04:38 PM

BATU GAJAH,  22 Nov (Bernama) --  Perak bercadang menjadikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh di sini sebagai hab penerbangan serantau, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee.

Beliau berkata ini kerana landasan lapangan terbang tersebut hanya sesuai untuk pesawat jenis Airbus 320 yang penerbangannya hanya mengambil masa antara tiga ke lima jam. 

"Kita telah mencadangkan kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi pelaksanaan hab penerbangan serantau ini, yang kita (kerajaan negeri) akan memfokuskan kepada penerbangan di ASEAN sahaja.

"Bagaimanapun, keputusan sepenuhnya terletak pada kerajaan Persekutuan untuk menentukannya," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman pembukaan taman Dinosaur Encounter@Silverlake Village Outlet (DESVO) di Silverlakes Village Outlet di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loh berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain industri antaranya dari Thailand mengenai laluan penerbangan yang akan diwujudkan antara kedua-dua laluan.

"Kita hanya boleh berbincang kerana akhirnya kelulusan bagi penerbangan, pendaratan dan pelepasan semuanya perlu datang daripada kerajaan Persekutuan dan itu kekangan kita pada masa ini," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk membangunkan dan menaik taraf lapangan terbang yang kurang berdaya saing di negara ini.

Beliau berkata usaha sama menerusi kerjasama awam-swasta itu diyakini dapat memberi model baharu kepada lapangan terbang sedia ada agar dapat dibangunkan dengan lebih baik.

Anthony berkata setakat ini terdapat beberapa syarikat swasta yang menunjukkan minat dan kesungguhan dalam perkara itu membabitkan pelaburan besar termasuk di LTSAS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan