AM

Lebih 7,000 Graduan Terima Ijazah, Diploma Pada Konvokesyen Ukm Ke-51

24/11/2023 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Sebanyak 7,255 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-51  di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi bermula bermula Sabtu ini hingga 30 Nov.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata kesemua penerima merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda dan diploma pascasiswazah.

Beliau berkata Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang juga Canselor UKM berkenan memulakan Majlis Pengisytiharan Konvokesyen UKM pada hari pertama konvokesyen itu.

“Dengan berlangsungnya konvokesyen ini maka jumlah graduan UKM sehingga 2023 adalah sebanyak 229,452 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Tuanku Muhriz turut berkenan melantik dua Pro Canselor UKM yang baharu selain  mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Presiden World Economic Forum Borge Brende dan gelaran Profesor Emeritus kepada lapan tokoh akademik UKM.

“Baginda juga berkenan mengurniakan hadiah kepada dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja bersama enam penerima anugerah utama universiti,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ekhwan berkata 86.3 peratus graduan UKM 2022 telah bekerja sekali gus menunjukkan peningkatan 6.3 peratus berbanding 80 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 23.2 peratus direkodkan menerima gaji RM5,000 ke atas.

Menurutnya, peningkatan itu menunjukkan komitmen UKM dalam membentuk graduan tersedia masa hadapan yang mampu bersaing dengan cabaran dan perkembangan teknologi terkini.

“Kelayakan akademik merupakan langkah pertama untuk graduan memasuki alam pekerjaan. Namun, graduan juga perlu mengambil kira kemahiran insaniah selain membina jaringan sosial yang lebih luas.

“Kemahiran seperti kepimpinan, keusahawanan, kerja berpasukan yang diperoleh daripada aktiviti luar kelas dapat mempersiapkan graduan dengan situasi baharu,” katanya.

Mohd Ekhwan berkata sempena konvokesyen itu, Karnival Konvokesyen UKM turut diadakan di Dataran Panggung Seni bermula hari ini hingga Khamis depan yang dikendalikan sepenuhnya mahasiswa mahasiswi UKM.

“Penganjuran Karnival Konvokesyen adalah satu inisiatif agenda Pemerkasaan Mahasiswa dengan kuasa autonomi diberikan kepada mahasiswa dalam menguruskan aktiviti ini,” katanya.

Karnival selama tujuh hari itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya Malam Larian Neon, pertandingan TikTok, persembahan, kebudayaan serta program kerohanian seperti Malam Rindu Ya Rasulullah dan Daie Siswa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan