SUKAN

Akmal Rizal Harap Penang Fc Tunjukkan Semangat Tinggi Hadapi Terengganu, Jdt

27/11/2023 09:57 AM

GEORGE TOWN, 27 Nov (Bernama) -- Pengendali sementara Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap pasukannya itu dapat meneruskan semangat perjuangan mereka dalam dua lagi aksi Liga Super menentang Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim FC (JDT).

Akmal Rizal berkata skuad Harimau Kumbang itu mendapat suntikan semangat yang terbaik, apabila dapat mengumpul tiga mata selepas berjaya mengalahkan Sri Pahang FC semalam, khususnya di akhir musim Liga Super.

“Saya telah berjumpa dengan semua pemain bagi membentuk keharmonian di antara mereka dan sewaktu sesi latihan, mereka menunjukkan semangat yang tinggi walaupun kedudukan di bawah liga dan ini yang ditunjukkan sepanjang 96 minit perlawanan.

“Saya berharap semua pemain sentiasa bersedia, sama ada yang senior atau muda, kerana saya akan menggunakan mereka pada bila-bila masa dalam rancangan taktikal pada perlawanan akan datang,” katanya selepas Penang mengalahkan Sri Pahang 3-2, di Stadium Bandaraya semalam.

Akmal Rizal berkata beliau akan memanfaatkan gabungan kekuatan antara pemain muda serta pengalaman pemain import dan senior, agar dua perlawanan akhir Liga Super dapat dihabiskan dengan keputusan positif.

Mengulas mengenai perlawanan semalam, Akmal Rizal berkata skuad itu berjaya menterjemahkan permainan yang berbeza dari sebelumnya dan mengikut rancangan beliau.

“Kita lihat mereka menunjukkan permainan yang berbeza, contohnya, tidak banyak hantaran jauh dan tidak kelam kabut dalam serangan. Saya gembira mereka cepat sesuaikan dengan apa yang saya mahu,” katanya. 

Apabila ditanya kemungkinan beliau untuk terus kekal menjadi pengendali skuad Harimau Kumbang, Akmal Rizal berkata dia sentiasa bersedia jika pihak pengurusan memberikan kepercayaan kepadanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Sri Pahang Datuk Ahmad Yusof berkata pasukan itu hilang fokus di tengah permainan, dan telah dihukum dengan kekalahan.

“Kami agak kecewa tapi kami akan melihat kehadapan dan membuat persediaan untuk menentang JDT dan Kuala Lumpur City FC,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan