DUNIA

Zambry Hadir Unga, Mesyuarat Unsc Mengenai Asia Barat Dan Palestin

28/11/2023 12:38 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijadual menghadiri dan menyampaikan Kenyataan Negara di Mesyuarat Pleno Sesi Ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai situasi di Asia Barat termasuk isu Palestin, di New York, Amerika Syarikat, pada 28 sehingga 29 Nov.

Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB berlangsung pada hari yang sama dengan sambutan Hari Solidariti Antarabangsa Palestin.

"Penyertaan Malaysia di kedua-dua mesyuarat itu, bersama negara-negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kumpulan Arab dan negara-negara yang sehaluan di platform PBB bertujuan untuk meningkatkan momentum dan memberi tekanan supaya hak rakyat Palestin dikembalikan," menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra).

Menurut kenyataan itu, Zambry akan menggesa Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera dan efektif bagi memastikan gencatan senjata berkekalan, menyediakan koridor selamat bagi tujuan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan menolak sebarang sikap pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa dan penetapan standard moral.

"Penyertaan Malaysia dalam kedua-dua mesyuarat itu menzahirkan komitmen kuat Malaysia dalam usaha menangani konflik di Gaza.

“Langkah ini juga turut mempamerkan solidariti yang berterusan dan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin,” menurut Wisma Putra.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan