JOHOR BAHRU, 30 Nov (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor akan menyenaraikan dan menilai jalan raya untuk dinaik taraf menggunakan teknologi garisan jalan bercahaya dalam gelap atau glow in the dark, sebelum hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerajaan negeri menerusi Belanjawan Johor 2024 memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf garisan jalan menggunakan teknologi pantulan cahaya itu.
Beliau berkata jalan raya yang terlibat akan menggunakan teknologi baharu tersebut pada tahun depan.
“JKR akan menyenaraikan dan menilai, mana satu jalan yang sesuai untuk digunakan teknologi glow in the dark terutama di kawasan tiada pendawaian atau tidak sesuai ada tiang elektrik, kawasan terlalu gelap, selekoh berbahaya dan jalan yang menghubungkan antara pekan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Jambatan Sungai Masai di Jalan Masai Lama, di sini semalam.
Mohamad Fazli mengulas mengenai pelaksanaan untuk menaik taraf garisan jalan dengan menggunakan teknologi glow in the dark.
Menurutnya, teknologi yang memantulkan cahaya pada garisan pembahagi jalan itu memerlukan kos tinggi untuk dilaksanakan berbanding garisan pembahagi jalan biasa.
“Berbanding garisan pembahagi jalan biasa, kos bagi teknologi glow in the dark ini harga adalah berlipat kali ganda. Tetapi apabila digunakan teknologi ini, mungkin kita tidak perlu lagi menggunakan lampu jalan.
“Peruntukan RM1 juta ini mungkin tidak banyak, tetapi ini adalah permulaan untuk kita mempelbagaikan teknologi seumpama ini di Johor,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial