AM

Cadangan Penubuhan Pusat Aeroangkasa Di Ltam Antara Hasil Misi Pelaburan Ke Luar Negara

30/11/2023 12:27 PM

MELAKA, 30 Nov (Bernama) -- Cadangan penubuhan pusat aeroangkasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini merupakan antara hasil misi pelaburan kerajaan negeri ke luar negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan dengan sebuah syarikat dari Itali yang memiliki 15 aset helikopter di Malaysia untuk menjadikan LTAM sebagai lokasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat.

“Jadi potensi pelaburan yang dicadangkan kepada syarikat itu ialah supaya menggunakan kemudahan LTAM untuk dijadikan pusat MRO memandangkan LTAM ini ada banyak ruang kosong dan boleh digunakan sebagai pusat industri aeroangkasa yang giat berkembang ketika ini.

“Saya juga telah berunding dengan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) untuk menaik taraf LTAM sebagai pusat aeroangkasa memandangkan ada sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti itu lebih daripada 20 tahun di Melaka,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai hasil lawatan kerja Ab Rauf ke luar negara sebelum ini.

Ab Rauf berkata sekiranya LTAM dijadikan sebagai MRO pesawat, ia akan membuka kira-kira 1,000 peluang pekerjaan baharu di negeri itu.

Beliau berkata setakat ini Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah menyediakan latihan dalam industri aeroangkasa dan terdapat 23 pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Melaka yang boleh menjadikan negeri itu sebagai pilihan kepada syaraikat antarabangsa untuk melabur memandangkan ia mempunyai tenaga kerja mahir yang cukup.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan