AM

Dewan Rakyat Lulus Usul Pindah Rm21 Bilion Kepada Kumpulan Wang Pembangunan

30/11/2023 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul bagi kerajaan memindahkan RM21 bilion iaitu baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) bagi tempoh Jun hingga November 2023 kepada Kumpulan Wang Pembangunan. 

Usul tersebut yang dipersetujui dengan undian suara majoriti dibacakan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan di bawah seksyen 3(1) mengikut peruntukan perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275).

Ahmad berkata pindahan tersebut akan digunakan bagi pembiayaan keperluan perbelanjaan pembangunan tahun 2023. 

“Kumpulan Wang Pembangunan ialah satu kumpulan wang amanah kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 bagi tujuan membiayai projek pembangunan. 

“Sumber kumpulan wang pembangunan diperoleh melalui pindahan antaranya daripada Akaun Pinjaman disatukan yang terdiri daripada terimaan terbitan sekuriti kerajaan Malaysia,” katanya. 

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan peruntukan di bawah subsekyen 10(4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) supaya Kumpulan Wang COVID-19 ditutup. 

Ahmad berkata penutupan Kumpulan Wang COVID-19 wajar dilaksanakan memandangkan keadaan negara pada fasa peralihan kepada endemik dan pembayaran bagi perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 telah selesai sepenuhnya. 

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Ogos 2023 telah bersetuju supaya Kumpulan Wang COVID-19 ditutup dan jadual kedua Akta 61 dipinda supaya mengeluarkan Kumpulan Wang COVID-19,” katanya. 

Penutupan Kumpulan Wang COVID-19 tidak memberi sebarang komplikasi kewangan kerana langkah itu hanya melibatkan pemindahan baki daripada Kumpulan Wang COVID-19 kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

 -- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan